fbpx

Tidak boleh paksa pekerja cuti, potong gaji ketika gangguan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven (dua dari kiri) menyampaikan faedah kepada salah seorang daripada pencarum Perkeso sempena lawatannya ke pejabat Perkeso Pulau Pinang di Seberang Jaya, hari ini.

SEBERANG PERAI – Majikan khususnya di Pulau Pinang tidak boleh sewenang-wenangnya memaksa pekerja mereka untuk mengambil cuti sepanjang berlaku gangguan bekalan air berjadual, bermula Rabu ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pada masa sama, mereka juga tidak dibenarkan untuk memotong gaji pekerja jika pihak syarikat membuat keputusan untuk menutup operasi sepanjang tempoh berkenaan.

“Jadi, saya minta kalau ada apa-apa kes sebegini sama ada daripada pihak majikan atau pekerja, boleh rujuk kepada JTK (Jabatan Tenaga Kerja) untuk mendapatkan panduan serta nasihat sebelum melaksanakan sebarang dasar,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang di Seberang Jaya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sim berkata, mana-mana majikan yang melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kerja 1955.

“Jadi, kalau ada majikan yang tidak faham mengenai garis panduan ini, mereka juga boleh rujuk kepada JTK untuk maklumat lanjut,” jelas beliau.

Media sebelum ini melaporkan bahawa kebanyakan pengilang khususnya dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka menghentikan operasi sekurang-kurangnya selama dua hari susulan gangguan bekalan air tersebut.

Pengerusi Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Teong Li dipetik sebagai berkata, keputusan itu terpaksa diambil kerana kebanyakan kilang memerlukan penggunaan air yang banyak dalam operasi harian masing-masing.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Januari ini.

Gangguan tersebut berlaku untuk membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI