fbpx

Premis seleweng diesel subsidi diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota KDPN menunjukkan sambungan ke sebuah lori tangki yang dikesan di sebuah premis di Seri Manjung semalam. - Foto KPDN PERAK

MANJUNG – Sebuah premis disyaki menyeleweng diesel bersubsidi diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di Kampung Baru Lumut di Seri Manjung di sini semalam dengan nilai sita rampasan keseluruhan bernilai RM1.7 juta.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi yang dilaksanakan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak Cawangan Manjung dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung setelah risikan selama dua minggu.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, pihaknya menemui lori tangki sedang memindahkan cecair yang disyaki diesel ke atas sebuah bot penunda.

“Siasatan awal mendapati bot penunda tersebut dimiliki sebuah syarikat pemegang lesen runcit bunkering yang masih sah tempoh dan beralamat di Manjung, Perak dan lori tangki pula dimiliki syarikat pembekal minyak yang mempunyai lesen borong diesel yang masih sah tempoh beralamat di Selangor.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen pembelian dan penjualan, mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan dan disyaki palsu kerana berbeza dengan rekod yang diperolehi daripada syarikat pembekal minyak berjenama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamalludin berkata, pihaknya percaya sindiket itu cuba memalsukan rekod transaksi sumber minyak diesel diperolehi untuk mengaburi pihak berkuasa melalui penyataan dan dokumen yang telah disita.

Menurut beliau, penyataan minyak kegunaan industri itu didapati adalah berbeza dengan minyak diesel yang digunakan oleh bot penunda sebagai bahan bakar.

Bahkan, ujarnya, minyak diesel tersebut disyaki diperolehi daripada sumber bersubsidi yang telah dicampurkan dengan minyak komersil dan dikumpulkan daripada pelbagai sumber seperti stesen minyak, minyak nelayan.

“Melalui arahan pengisytiharan stok dan mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap kedua-dua syarikat, sebanyak anggaran 60,429 liter cecair yang disyaki diesel berada di dalam lori tangki dan bot penunda tersebut telah disita.

“Rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1,761,287. Empat lelaki tempatan yang turut berada di tempat kejadian telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kamalludin berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI