fbpx

Dua beradik hilang sejak Isnin, belum ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua beradik yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam sejak Isnin lalu.

HULU SELANGOR – Polis giat mengesan keberadaan dua beradik, Wan Azfar Fitri Wan Azhar, 16, dan adiknya Wan Azfar Zikri, 15, yang hilang di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, di sini, selepas pulang daripada solat subuh di surau pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, setakat ini pihaknya hanya mendapat laporan yang dibuat oleh waris mangsa.

“Polis belum menjumpai dua remaja lelaki terbabit dan kita telah sebarkan identiti mangsa hilang ini seiring dengan usaha mengesan mereka.

“Maklumat kehilangan ini juga turut disalurkan kepada warga Hulu Selangor melalui ketua-ketua komuniti, persatuan niaga, ketua rumah ibadat dan lain-lain,” katanya kepada Kosmo!, pagi ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan dua orang adik beradik lelaki berusia 16 dan 15 tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, di sini, Isnin lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, dua remaja dilihat buat kali terakhir di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya selepas balik daripada solat subuh.

Ahmad Faizal berkata, kehilangan dua remaja tersebut disedari oleh ibu bapa mereka pada hari Isnin, pukul 6.30 pagi.

“Pakaian terakhir mereka ialah berbaju warna tidak pasti dan berseluar trek warna gelap.

“Difahamkan, mereka keluar rumah tanpa memberitahu ibu bapa selepas pulang dari surau,” katanya.

Menurut Ahmad Faizal, kedua-dua ibu bapa remaja berkenaan membuat laporan polis pada hari Selasa sekitar pukul 9.19 pagi.

“Remaja terbabit tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri kerana disimpan oleh ibu mereka serta tidak mempunyai telefon bimbit,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai dua beradik berkenaan diminta supaya memaklumkan balai polis berhampiran atau menghubungi ibu bapa remaja itu menerusi talian 01133772289 dan 01111335305 atau Pegawai Penyiasat di 0135547435. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI