SEJAK dilancarkan beberapa tahun lalu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Xpander boleh dikatakan senang untuk lihat di atas jalan raya.
Itu bermaksud, model ini boleh dikatakan popular atau mendapat tempat di hati pembeli.
Malah, tinjauan penulis di beberapa aplikasi jual beli kenderaan mendapati harga jualan semula untuk model tahun 2020 masih berharga lebih RM70,000.
Model MPV ini juga membawa karakter kenderaan utiliti sukan (SUV) kerana kelihatan tinggi.
Jarak permukaan Xpander adalah 205 millimeter (mm), sekali gus membolehkannya meredah offroad ringan atau banjir. Dari segi rekaan bahagian hadapan, kenderaan ini hadir dengan reka bentuk perisai dinamik.
Dapra (fender) mengembang memberikan karakter lasak kepada reka bentuk berinspirasikan kenderaan SUV.
Lampu depan LED dapat memaksimumkan penglihatan pemandu.
Lampu posisi LED pula berbentuk blok kristal dan berada di kedudukan lebih tinggi bagi memudahkan penglihatan pada waktu malam.
Pada bahagian sisi, MPV ini menggunakan rim aloi dua tona bersaiz 16 inci yang cukup menyerlah.
Sebelah belakang pula penggunaan lampu LED berbentuk L memberikan reka bentuk progresif.

Model Xpander ini menggunakan enjin 1.5 liter Mivec DOHC dengan transmisi empat kelajuan automatik.
Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 105PS pada 6,000rpm dan tork maksimum 141Nm ketika 4,000rpm.
Penulis difahamkan, sistem suspensi Xpander telah dioptimumkan untuk memberi pemanduan stabil dan selesa, terutama ketika membelok atau melalui jalan berliku.
Radius pusingan hanya 5.2 meter bagi membolehkan Xpander membuat sebarang pusingan terutama di tempat sempit seperti ruang parkir di pusat beli-belah atau jalan yang kecil.
Masuk ke ruang kabin, warna gelap pada bahagian dalam sangat sesuai untuk mereka yang berkeluarga dan memiliki anak kecil.
Sementara itu, sistem infotainment hadir dengan paparan multimedia sembilan inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Kamera keliling 360 juga ada.
Tempat duduk belakang hadir bersama corong udara dengan pelaras kipas empat kelajuan. Ini memberi keselesaan kepada penumpang barisan kedua dan ketiga.
Xpander ini juga hadir dengan stereng boleh laras condong dan teleskopik untuk memberikan ketinggian serta kedudukan optimum untuk postur pemanduan selesa.
Cuma ada satu perkara yang penulis rasa boleh diperbaiki sekiranya ada model penambahbaikan iaitu pelaras ketinggian tali pinggang keledar hadapan. Ketinggian sedia ada kurang selesa pada penulis.
Sepanjang pandu uji, penulis menjumpai lapan ciri menarik yang praktikal pada ruang dalaman model ini.
Antaranya, ruang simpanan terbahagi dua di depan penumpang hadapan dan konfigurasi tempat duduk boleh diselaraskan mengikut kesesuaian.

Penulis juga tertarik dengan kotak lantai kargo bertutup untuk menyimpan barang basah atau kotor di ruangan tersembunyi tanpa memakan ruang but tambahan.
Walaupun tempat duduk barisan ketiga agak sempit untuk orang dewasa, tetapi ia hadir dengan poket sisi dan pemegang cawan.
Menariknya, terdapat poket pada tempat duduk belakang barisan kedua serta tempat simpanan serba guna bawah kerusi penumpang hadapan.
Selain itu, model ini dilengkapi ruang simpanan di bahagian tengah dengan penutup gelongsor dan tempat simpanan telefon pintar.
Kesimpulannya, penulis rasa tarikan utama Mitsubishi Xpander adalah versatil dan praktikal yang ditawarkan kepada pembeli.














