PETALING JAYA – Mahukan kebebasan, ketidakharmonian keluarga, mengikut kawan atau kekasih antara punca sebahagian daripada 14,870 kes kanak-kanak di bawah 18 tahun hilang atau lari dari rumah direkodkan dalam tempoh 2013 hingga 2023.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kes lari dari rumah itu menyumbang sebanyak 93.6 peratus yang mana faktor utamanya disebabkan ingin bebas daripada kongkongan keluarga dan penjaga.
Katanya, terdapat enam kategori punca kehilangan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun antaranya lari daripada rumah.
“Ia adalah ingin kebebasan, ketidak harmonian dalam keluarga, mengikut kawan atau kekasih, salah faham dengan ahli keluarga, mencari pekerjaan di
usia muda, kurang perhatian keluarga dan tidak minat belajar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, dalam tempoh berkenaan, dianggarkan empat kanak-kanak berusia 18 tahun kebawah dilaporkan hilang setiap hari menerusi data yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 14,673 orang telah dijumpai semula dengan kadar peratusan sebanyak 98.67 peratus, manakala baki 197 kanak-kanak masih belum ditemui sehingga kini.
“Mengikut trend jenayah yang berlaku kini, tiada kes penculikan terhadap kanak-kanak melibatkan tuntutan tebusan.
“Namun begitu, tidak dinafikan terdapat sebilangan kecil kanak-kanak yang dilaporkan hilang terjerumus dalam perlakuan jenayah termasuk kes
seksual,” katanya.
Jelas beliau lagi, PDRM telah mengesan beberapa faktor menyebabkan kebanyakan kanak-kanak terjerumus dalam perlakuan jenayah termasuk menjadi mangsa kepada kes seksual.
“Perkara tersebut melibatkan pengaruh kawan, pengaruh teman lelaki dan faktor mencari kebebasan,” ujarnya.
Selain itu katanya, kehilangan kanak-kanak disebabkan faktor kemalangan atau bencana seperti kejadian tanah runtuh, lemas di sungai, sesat di hutan, hilang di dalam kebun dan dibaham buaya adalah sebanyak 0.83 peratus.
Bagi kategori menjadi mangsa jenayah, Siti Kamsiah berkata, jumlah icatatkan sekitar 0.04 peratus, yang mana kanak-kanak dijadikan mangsa balas dendam dan kemarahan daripada individu tidak bertanggungjawab terhadap ibu bapa mangsa.














