fbpx

Perunding perniagaan didakwa kes ubah wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Khuzaini dibawa anggota polis selepas prosiding pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO/VIDEO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Seorang perunding perniagaan didakwa sekali lagi Mahkamah Sesyen hari ini atas tujuh pertuduhan melupuskan dan memindahkan wang hasil pengubahan wang haram bernilai RM53,144, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Khairul Khuzaini Zamsani, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud.

Khairul Khuzaini didakwa empat pertuduhan melupuskan wang berjumlah RM22,254 dan tiga pertuduhan memindahkan sejumlah RM30,890 yang kesemuanya hasil aktiviti wang haram.

Kesemua dilakukan menerusi akaun miliknya dan tiga akaun individu lain berusia 26 hingga 58 tahun di cawangan sebuah bank di Pandamaran, Klang dekat sini antara 13 April hingga 15 Mei 2021.

Justeru, dia didakwa mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasanan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Julianazriana Jaafar mencadangkan jaminan RM50,000 bersama seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Peguam Sabrina Mohd. memohon jaminan dikurangkan kepada RM15,000 susulan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai perunding perniagaan dan mempunyai asma selain menanggung kedua-dua ibu bapanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM35,000 bersama penjamin yang beralamat tetap di Kuala Lumpur dan Selangor dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

“Saya juga mahu lihat kepada laporan perubatan berkaitan asma pada tarikh sebutan semula pada 13 Februari depan atau jaminan akan dipertingkatkan. Kesemua kes akan dibicarakan bersama,” katanya.

Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Difahamkan, selepas pertuduhan tersebut Khairul Khuzaini telah dibawa oleh pegawai polis ke Kelantan bagi siasatan berhubung dipercayai menyalahgunakan identiti Kerabat Diraja Kelantan untuk mengiklankan pelaburan emas.

Kosmo! pada 27 Julai 2021 melaporkan Khairul Khuzaini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu pelakon, Datuk Fizz Fairuz berhubung projek pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI