fbpx

Lelaki kasari anggota JPJ kejadian November lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kejadian tersebut yang tular di media sosial.

ALOR SETAR – Kejadian memaparkan individu menaiki sebuah lori mengasari anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah yang tular di media sosial sejak semalam merupakan kejadian pada November lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Aman Shah Hashim berkata, kejadian itu berlaku pada 22 November lalu dengan individu berkenaan sudah pun dijatuhkan hukuman oleh mahkamah pada 27 November 2023.

Menurutnya, individu terlibat yang merupakan seorang peniaga air tebu berusia 24 tahun sudah pun dikenakan hukuman penjara sehari dan didenda sebanyak RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Jitra.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.04 petang di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra dengan individu berkenaan telah menyerang anggota JPJ bertugas sambil mengeluarkan kata-kata kesat serta provokasi.

“Ketika kejadian, anggota bertugas sedang melakukan rondaan penguatkuasaan dan kesan sebuah kenderaan mencurigakan. Pemeriksaan awal dijalankan mendapati terdapat tiga kesalahan yang dikesan pada kenderaan tersebut.

“Tiga kesalahan itu adalah lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan perakuan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tamat tempoh,” katanya.

Menerusi klip video berdurasi 1 minit 24 saat yang tular di beberapa platform media sosial itu, anggota JPJ pada mulanya dilihat mengekori sebuah lori jenis Nissan dinaiki dua lelaki sebelum kenderaan itu berhenti di sebuah premis

Dua lelaki kemudiannya turun dari kenderaan tersebut sebelum salah seorang daripada mereka dilihat mengasari anggota JPJ terlibat.

Aman Shah menambah, rentetan daripada kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat anggota terlibat.

“Berikutan itu individu tersebut telah ditahan dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI