fbpx

UMT tanam pokok gelam demi kelestarian alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pokok gelam ditanam di satu kawasan di Setiu, Terengganu.

KELESTARIAN alam merupakan satu aspek yang harus dititikberatkan kerana ia mempunyai fungsinya yang tersendiri dalam kehidupan.

Semua pihak harus mempunyai sikap bertanggungjawab untuk bersama-sama menjaga alam ini demi kepentingan bersama.

Bertunjangkan objektif tersebut, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah universiti awam yang memperjuangkan elemen kelestarian alam dan biodiversiti baru-baru ini telah mengumpulkan kira-kira 100 sukarelawan bagi misi menanam semula pokok gelam di Setiu.

Inisiatif itu merupakan satu bentuk tanggungjawab bersama yang harus dipikul oleh setiap individu dalam usaha memelihara flora dan fauna serta ekosistem alam.

Pemilihan pokok gelam dibuat memandangkan ia mempunyai pelbagai kelebihan dalam keseimbangan ekosistem, berdaun lebat dan tahan kekeringan serta mudah untuk ditanam.

Pokok gelam atau dikenali sebagai Melaleuca cajuputi adalah tumbuhan asli Asia Tenggara yang memiliki nilai ekonomi dan ekologi yang tinggi.

Secara tidak langsung, usaha yang dilakukan sukarelawan UMT ini turut memberi kelebihan kepada penduduk sekitar untuk menghasilkan produk berasaskan pokok tersebut kelak.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain menyifatkan program sukarelawan seperti itu merupakan kegiatan yang baik dalam menyemai ilmu berkaitan penjagaan alam sekitar dan ekosistem kepada masyarakat khususnya pelajar.

“Kita dedahkan kepada pelajar kepentingan penjagaan alam sekitar dan prihatin terhadap perubahan yang ketara berlaku kebelakangan ini.

“Aktiviti kesukarelawanan seperti ini merupakan medan untuk menyemai rasa tanggungjawab setiap individu terhadap alam sekitar selain menyebarkan ilmu berkaitan penjagaan ekosistem alam demi masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, penyelidik pokok gelam, Prof. Madya Dr. Jamilah Salim berkata, pemilihan pokok gelam itu merupakan sumber semula jadi yang boleh diusahakan tanpa memerlukan modal yang besar.

“Kajian saya berkaitan pokok gelam bermula pada tahun 1998. Kita dapati pokok ini berpotensi memberi manfaat kepada komuniti.

“Ini juga menterjemahkan penyelidikan yang dilakukan universiti dikembalikan kepada komuniti untuk dimanfaatkan,” jelasnya.

Sebahagian daripada 100 sukarelawan yang mengusahakan penanaman semula pokok gelam anjuran UMT.

Mengulas lanjut, Ketua Bioinfo, Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi, UMT, Prof. Dr. Noraznawati Ismail berkata, pelbagai produk boleh diusahakan berasaskan pokok gelam seperti minyak pati.

“Kita mengambil pendekatan hubung kait antara komuniti dan aktiviti tanaman pokok gelam.

“Jadi, kita dapati bahawa komuniti yang usahakan tanaman pokok gelam boleh memanfaatkan hasilnya melalui penghasilan krim, minyak pati dan produk lain yang mempunyai nilai tinggi di pasaran.

“Usaha kelestarian alam seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada ekosistem alam, malah menjana peluang ekonomi kepada komuniti setempat,” ujarnya.

Bukan sekadar untuk dimanfaatkan komuniti bagi penghasilan produk atau menghijaukan alam semata-mata, pokok gelam itu sendiri lebih daripada itu.

Pokok gelam turut mempunyai sifat antimikrobial dan dapat membantu membersihkan udara dengan menyerap karbon dioksida serta melepaskan oksigen.

Ini membantu mengurangkan impak perubahan iklim dan menyokong keseimbangan ekosistem.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI