fbpx
KANAK-KANAK menangis ketika berjalan di Hospital Nasser di Khan Yunis pada 27 Disember 2023. - AFP

Konflik Palestin-Israel: Keamanan impian tahun baharu penduduk Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANDAR GAZA – Penduduk Semenanjung Gaza mengakhiri tahun 2023 semalam, dengan tiada tanda-tanda yang menunjukkan peperangan akan berakhir atau kekejaman askar Rejim Zionis bakal ditamatkan.

Serangan udara, tembakan artileri dan pertempuran darat askar Israel dengan Hamas masih berlangsung sengit, menyebabkan penduduk terus bergelut untuk meneruskan kehidupan.

“Kami berharap agar 2024 tiba dengan membawa perkara-perkara lebih baik dan kami boleh menyambut tahun baharu di rumah bersama keluarga.

“Kami juga berharap agar peperangan ini akan berakhir supaya kami boleh pulang ke rumah dan hidup dengan aman,” kata seorang penduduk yang kini berlindung di kem pelarian Rafah, Mahmoud Abou Shahma.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kempen pengeboman askar Israel setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 21,672 orang dengan sebahagian besar ialah wanita dan kanak-kanak.

Selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu, Rejim Zionis melaksanakan kepungan menyeluruh ke atas Gaza dengan bekalan makanan, air bersih, bahan api dan bekalan ubat disekat.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 85 peratus daripada 2.4 juta penduduk Gaza telah meninggalkan kediaman masing-masing ketika pertempuran memasuki minggu ke-13.

Jauh di bahagian selatan di bandar sempadan Mesir iaitu Rafah, penduduk Gaza mencari perlindungan daripada pengeboman tanpa henti askar Israel.

“Cukup-cukuplah berperang! Kami sudah letih!

“Kami sering berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain dalam cuaca sejuk. Hidup kami tidak tenang disebabkan bunyi bom siang dan malam,” kata Umm Louay Abu Khater, 49.

Seorang lagi penduduk Bandar Gaza yang kehilangan tempat tinggal, Ahmed al-Baz berkata, 2023 adalah tahun paling buruk dalam hidupnya.

“Ia adalah tahun kemusnahan dan bencana. Kami hanya mahukan peperangan ini berakhir dan memulakan tahun baharu di rumah dengan gencatan senjata diumumkan,” ujarnya yang berlindung di Rafah.

Askar Israel memperluaskan kempen serangan ke atas Gaza yang setakat ini telah meratakan sebahagian besar utara wilayah itu.

Ia kini menyasarkan kawasan-kawasan kem pelarian bandar di Bureij, Nuseirat dan Maghazi di tengah Gaza, dengan membedil bangunan menggunakan artileri dan pesawat perang, lapor portal berita MailOnline.

Situasi itu menyebabkan penduduk terus melarikan diri ke selatan ketika orang ramai tiba di Rafah menggunakan trak, kereta keldai dan berjalan kaki. 

Mereka yang sudah tidak mempunyai ruang untuk mendirikan khemah terpaksa ‘berumah’ di tepi jalan yang licin disebabkan lumpur akibat hujan musim sejuk.

Dengan ketibaan lebih ramai orang, pekan-pekan dan kawasan sekeliling Rafah kini menempatkan kira-kira 850,000 penduduk, lebih tiga kali ganda daripada populasi normal.

“Ada antara penduduk yang tidur di dalam kereta serta ada juga yang tidur di kawasan terbuka,” kata Pengarah Komunikasi Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Juliette Touma. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN