fbpx

Jalan sementara akan dibina di Kampung Seberang Janggut, Jeli – Alexander

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan jalan yang runtuh ekoran hujan lebat berterusan di Kampung Janggut Seberang, Jeli sejak semalam. - FOTO ROSMIZAN RESDI

PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan sebuah jalan sementara akan dibina di Kampung Seberang Janggut di Jeli, Kelantan yang terjejas akibat tanah runtuh petang semalam.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan jalan sementara di sebelah jalan yang runtuh itu akan diuruskan Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Jeli.

Katanya, peruntukan pembaikan dan pembinaan jalan sementara tersebut akan dipohon oleh pegawai daerah kepada pejabat pembangunan negeri.

“Saya telah mendapatkan maklumat awal dari JKR Jajahan Jeli dan dimaklumkan bahawa jalan yang terlibat adalah jalan kampung di bawah pejabat daerah.

“Pasukan JKR bersama pegawai daerah juga telah turun ke kawasan terlibat bagi melihat situasi semasa dan perancangan menyediakan jalan sementara sedang dilaksanakan.

“Pasukan JKR Jajahan Jeli juga sedang membantu menyediakan anggaran kos bagi pembinaan jalan sementara di sebelah jalan yang runtuh tersebut bagi mengelakkan penduduk kampung terputus hubungan,”tulisnya di laman Facebook hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama semua pihak untuk sentiasa berhati-hati dan mengikut segala arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak dalam keadaan cuaca yang buruk pada ketika ini.

“Pihak kementerian dan JKR akan sentiasa memberikan kerjasama dan bantuan bagi membantu menguruskan bencana ini,”ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kira-kira 50 buah keluarga di Kampung Seberang Janggut terputus hubungan selepas jalan utama untuk keluar dan masuk ke kampung berkenaan runtuh petang semalam.

Tinjauan Kosmo! di kawasan tersebut mendapati, keseluruhan struktur jalan itu runtuh sehingga menyebabkan laluan utama ke kampung berkenaan tidak dapat digunakan.

Menurut seorang penduduk Mohd. Ayub Zakaria, 43, runtuhan yang berlaku kira-kira pukul 5 petang semalam itu disebabkan arus sungai yang deras dan hujan lebat yang berterusan sejak dua hari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI