fbpx

Jenazah wartawan meninggal di London akan dibawa pulang ke tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENAZAH Allahyarham Fiza Kamarudin kini dalam proses untuk dibawa pulang ke Malaysia.

PETALING JAYA – Jenazah wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafizah Kamarudin atau lebih dikenali sebagai Fiza Kamarudin yang dilaporkan meninggal dunia di di Hospital Charing Cross di London, United Kingdom, malam tadi, kini dalam proses untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Malaysia.

Menurut seorang kenalan arwah, yang berada di London, proses untuk membawa pulang jenazah Fiza bagamanapun memakan sedikit waktu, sekurang-kurangnya seminggu.

“Suami arwah, Mohd. Roshdi Ramli mahu jenazah dibawa pulang ke Malaysia. Tapi kena tunggu sekurang-kurangnya seminggu untuk proses membawa pulang (jenazah) kerana pejabat pengurusan masih cuti (bersempena Hari Krismas dan Tahun Baharu).

“Kena tunggu esok untuk dapatkan sijil pengesahan kematian. Semoga semua urusan dipermudahkan,” ujarnya.

Difahamkan, wakil kedutaan Malaysia di London juga sudah menziarahi keluarga Allahyarham untuk berbincang dengan pihak hospital bagi urusan membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di Malaysia.

Menurutnya, suami kepada arwah serta dua orang anak mereka berada dalam keadaan baik, kuat semangat dan reda dengan apa yang terjadi.

“Suami kepada arwah sedang berurusan dengan pihak kedutaan Malaysia di London dan pihak hospital bagi urusan membawa pulang jenazah ke Malaysia.

“Anak-anak dan suaminya okay serta reda. Mereka sangat kuat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, 49, mewakili keluarga arwah melahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang membantu, termasuk rakyat Malaysia yang berada di London, antaranya wartawan kumpulan News Straits Times Press (NSTP), Zaharah Othman.

“Saya mewakili keluarga besar WHAM amat berterima kasih kepada semua yang membantu menyalurkan sumbangan, terutama kepada warga Malaysia yang berada di London untuk
menguruskan jenazah Fiza di sana. Terima kasih juga kepada wartawan senior NSTP, Zaharah kerana banyak membantu.

“Difahamkan, suami serta dua anak mereka yang ditinggalkan, kini reda dengan pemergian arwah dan mereka sedang berusaha mempermudahkan urusan untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.

“Suami dan anak-anak mahu supaya jenazah dikebumikan di Malaysia. Sekarang mereka sedang melakukan urusan berkenaan dengan kerjasama pihak Malaysia Hall di London,” kata Tengku Khalidah.

Ujarnya lagi, urusan bagaimanapun dijangka mengambil masa beberapa hari lagi kerana perlu melalui proses dokumentasi yang agak teliti.

Tengku Khalidah turut memaklumkan Pihak WHAM juga sedang dalam usaha berurusan dengan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memandangkan arwah merupakan pencarum dengan pertubuhan berkenaan selama bekerja dengan beberapa majikan sebelum ini.

Terdahulu, industri kewartawanan tanah air berduka selepas dikejutkan dengan berita pemergiaan Hafizah atau mesra disapa Fiza dalam kalangan rakan-rakan yang meninggal dunia akibat pendarahan otak.

Arwah yang merupakan wartawan portal hiburan, Boom! Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU dikatakan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sewaktu menunggu penerbangan untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember lalu. Ketika awal memasuki dunia kewartawanan Fiza juga pernah berkhidmat sebagai wartawan kadet di Kosmo! sebelum bertukar ke agensi media lain termasuk RTM dan Astro.

Allahyarham yang juga bekas pesakit kanser payudara namun sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas. Lebih memilukan, percutian yang dirancang ke London kali ini merupakan hajat terakhir arwah bagi menunaikan janji bersama mereka iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI