fbpx

K2

Kelulut jana ekonomi, keterjaminan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENTERNAK kelulut perlu didedahkan dengan teknik ternakan lestari bagi memberi perlindungan terhadap koloni. – Gambar hiasan

Belanjawan 2024 telah memperuntukkan sebanyak RM6.17 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Ia dilihat sebagai inisiatif baik untuk membantu meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan, selain memacu sektor pertanian serta keterjaminan makanan negara.

Hal ini dilihat sebagai suatu peluang yang baik bagi penternakan kelulut dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan keberlangsungan hidup masyarakat, di samping mewujudkan strategi pembangunan ekonomi mampan.

“Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia.” (Surah an-Nahl, 69).

Pensyarah Kanan, Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syari Jamian berkata, permintaan terhadap madu kelulut sangat tinggi walaupun purata penghasilannya rendah.

Keadaan ini kerana kelulut menghasilkan madu yang mengandungi bahan antioksidan tinggi, rendah indeks glisemik (GI) dan tinggi kandungan gula ‘trehalulosa’ bermanfaat kepada kesihatan manusia.

Menurut Dr. Syari Jamian, ternakan kelulut pada masa ini telah menjadi suatu industri yang popular kerana madu kelulut.

Katanya, ia dianggap sebagai produk premium dengan harga jualan madu kelulut mencapai harga pasaran tinggi, iaitu antara RM250 hingga RM700 sebotol.

MADU kelulut dipercayai mengandungi pelbagai khasiat.

Dengan madu kelulut, pelbagai produk hiliran boleh dihasilkan, antaranya adalah sabun, gel balm, kosmetik, selain makanan seperti kopi kelulut, gula-gula dan coklat.

Ini memberikan kepelbagaian dalam sumber makanan manusia, di samping menyediakan peluang kepada masyarakat untuk menceburi bidang keusahawanan tani.

Industri penternakan kelulut mampu menjadi sumber ekonomi kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar yang mempunyai akses kepada persekitaran semula jadi.

Pembangunan industri ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu khususnya dalam penyelenggaraan koloni kelulut, pengeluaran madu dan pengurusan perniagaan madu.

Bukan itu sahaja, dalam bidang pertanian, kelulut membantu dalam pendebungaan tumbuhan.

Pemindahan debunga oleh kelulut dari satu bunga ke bunga lainnya mampu menggalakkan kepelbagaian genetik populasi tumbuhan yang seterusnya meningkatkan daya tahan tumbuhan.

Pendebungaan oleh kelulut membantu dalam penghasilan buah dan sayur lebih besar, sihat dan tahan daripada penyakit.

Ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan hasil pertanian dan kelestarian pengeluaran makanan.

Dr. Syari Jamian menyatakan, madu kelulut mampu meningkatkan metabolisme badan, menambah tenaga batin, menjaga kecantikan, menguatkan wanita yang baru bersalin serta merawat kecederaan dalaman.

Madu kelulut diiktiraf oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) sebagai ‘Superfood’ pertama negara.

Ia membuktikan bahawa penternakan kelulut memerlukan teknik dan perhatian yang teliti untuk memastikan pertumbuhan dan pengeluaran madu optimum.

Oleh itu, penternakan kelulut dan perkembangan industri madu kelulut hendaklah dikukuhkan dengan pendidikan sewajarnya serta pengurusan mampan.

Ia bagi memastikan kelestarian madu kelulut terpelihara tanpa merosakkan populasi lebah kelulut atau habitat semula jadinya.

Penternak kelulut juga perlu didedahkan dengan teknik ternakan lestari untuk memastikan perlindungan terhadap koloni, di samping menjaga kelestarian kelulut dan madu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI