PETALING JAYA – Seorang penumpang wanita mengakui terkejut apabila mendapati pemandu e-hailing yang menjemputnya baru-baru ini berbeza identiti (ID) dengan maklumat yang dipamerkan dalam aplikasi tempahan.
Berkongsi pengalaman, pekerja swasta, Nur Syazatul Azrin, 27, itu berkata, dia menaiki kenderaan dipandu warga Bangladesh tersebut sewaktu mahu pulang ke rumahnya dari sebuah pusat beli-belah di Shah Alam.
“Pada mulanya saya tidak perasan wajah pemandu e-hailing itu berbeza dengan gambar yang dipamerkan dalam aplikasi tempahan sebab dia memakai pelitup muka.
“Waktu saya buat tempahan, tertera wajah lelaki tempatan yang berkulit cerah, jadi apabila kenderaan itu sampai dan nombor platnya sama, jadi saya terus masuk.
“Namun apa yang perasan tona kulitnya berbeza. Saya cuba mengajaknya untuk berbual, namun pemandu itu hanya diam.
“Selepas ditanya beberapa kali baru dia menjawab. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapat tahu dia dari negara Bangladesh,” katanya kepada Kosmo!.
Nur Syazatul menjelaskan, dia turut bertanyakan beberapa perkara kepada lelaki asing tersebut dan pemuda itu memaklumkan dia membantu rakannya yang sakit.
“Tetapi saya tidak sempat bertanya panjang lebar kerana sudah sampai di destinasi yang ditujui. Saya segera turun dan melaporkan perkara itu kepada syarikat penyedia perkhidmatan,” katanya.
Seorang lagi pelanggan e-hailing yang mahu dikenali sebagai Syasya, 25, berkata, dia turut berdepan pengalaman sama, namun tidak ambil pusing kerana menyangka warga asing sudah dibenarkan memandu e-hailing.
“Pernah sekali saya naik kenderaan e-hailing, tetapi warga asing yang pandu. Saya tidak mengesyaki apa-apa sebab ingat boleh (dibenarkan). Tapi apabila berbual dengan pemandu warga tempatan, mereka berasa terkejut.
“Pemandu itu tidak menolak kemungkinan mereka (warga asing) menggunakan identiti palsu sewaktu mendaftar dengan syarikat pengendali perkhidmatan,” kongsinya. -KOSMO! ONLINE















