JOHOR BAHRU – Menawarkan perkhidmatan memperbaharui permit kerja dan pasport kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) pada harga RM2,000 hingga RM3,500 seorang.
Itulah kegiatan yang dijalankan sindiket pemalsuan dokumen sehingga berjaya mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit dalam tempoh tidak sampai setahun.
Pelanggan sasaran sindiket itu adalah mereka yang disenarai hitam dan tidak memenuhi syarat permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) oleh kerajaan Malaysia.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, kegiatan tersebut dikesan sejak awal tahun ini dan dipercayai didalangi oleh rakyat asing yang menetap di negara ini.
“Siasatan awal mendapati, permit kerja dan pasport yang dikeluarkan sindiket mirip tulen jika dilihat dengan mata kasar.
“Sindiket ini mencetak kedua-dua dokumen tersebut menggunakan maklumat milik orang lain.
“Jika dilihat nombor siri dan maklumat peribadi adalah sama kecuali gambar berbeza kerana ditampal dengan wajah PATI yang membeli pasport dan permit kerja itu menyebabkan ada majikan yang terperdaya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Baharuddin memberitahu, dokumen itu bagaimanapun hanya boleh disahkan palsu oleh pihak berkuasa yang mempunyai teknologi khas untuk berbuat demikian.

Jelas beliau, sindiket tersebut mencari mangsa menerusi media sosial, aplikasi WhatsApp selain hebahan mulut ke mulut.
“Kita tidak menolak kemungkinan sindiket ini mengiklan perkhidmatan mereka melalui kumpulan WhatsApp.
“Rangkaian sindiket ini licik, biasanya mereka mempunyai ejen dalam kalangan PATI di sesuatu lokasi selain menghebahkan dari mulut ke mulut.
“Perkara ini terjadi apabila seorang PATI berjaya mendapatkan permit kerja dan pasport palsu, jadi mereka mempengaruhi rakan-rakan lain dan mendapat komisen daripada sindiket tersebut,” katanya.
Caj yang dikenakan sindiket adalah RM2,000 hingga RM3,500 seorang.
Beliau mengakui agak sukar untuk menghapuskan sepenuhnya kegiatan haram tersebut, namun pihaknya komited untuk berusaha dengan sebaik mungkin.
“Biasanya sindiket pemalsuan dokumen ini mempunyai beberapa rangkaian atau anggota yang mempunyai hubungan dengan penjenayah antarabangsa.
“Jadi agak sukar bagi pihak berkuasa di negara ini untuk mengesan dalang utama atau ‘kepala’ sindiket kerana pergerakan mereka lebih terancang.
“Anggota sindiket di peringkat bawah sehingga atasan berkemungkinan tidak mengenali antara satu sama lain,” katanya.
Oleh itu, beliau menegaskan, operasi secara bersepadu melibatkan semua agensi berkaitan secara besar-besaran perlu dilaksanakan bagi menangkap kumpulan yang mengambil kesempatan mengaut untung dengan melindungi PATI di negara ini.














