fbpx

Tapak pelupusan ‘tenat’ punca sampah dibuang merata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAIS ketika ditemui pemberita di Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat TM Melaka dan Japerun Paya Rumput. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa untuk mempercepatkan pembinaan projek sisa jadi tenaga (WTE) susulan tapak pelupusan sedia ada di Sungai Udang dekat sini berada pada tahap kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, isu tersebut turut menjadi punca kewujudan tapak pembuangan sampah haram yang direkodkan tinggi di negeri ini.

Jelasnya, pusat pelupusan di Sungai Udang itu merupakan satu-satunya tapak pembuangan sisa pepejal dan semakin padat dengan sisa buangan sampah dianggarkan berjumlah 1,100 tan sehari.

“Keadaan trafik di sana yang sesak antara punca menyebabkan wujudnya tapak-tapak sampah haram, jadi antara penyelesaian yang pihak kerajaan pusat buat adalah untuk diadakan WTE.

“Sayangnya sehingga hari ini projek itu belum dimulakan pun kerana difahamkan terdapat isu melibatkan syarikat dilantik, namun kita minta KPKT segeralah menyelesaikan dan membina WTE kerana keadaan ini sangat mendesak,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat TM Melaka dan Japerun Paya Rumput di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perbadanan Pengurusan Sisa Pe­pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang mendedahkan Melaka sebagai negeri tertinggi dengan tapak pelupusan sampah haram.

Sebanyak 608 tapak dikenal pasti di negeri ini sejak Januari sehingga September lalu dengan Melaka Tengah mempunyai 214 lokasi, Hang Tuah Jaya (135), Alor Gajah (112), manakala Jasin merekodkan jumlah sebanyak 147.

Mengulas lanjut Rais berkata, pihaknya akan turut mengambil langkah segera berkenaan isu tapak pembuangan sampah haram dengan memanggil agensi berkaitan dalam masa terdekat.

“Selaku exco yang bertanggungjawab, kita ambil tindakan segera dengan memanggil pihak-pihak terlibat untuk kita kaji dan lihat bagaimanapun isu ini berlaku.

“Kita mahu mengekalkan Melaka sebagai negeri terbersih seiring dengan Anugerah Asean Clean Tourist City Standard (2024-2026) yang diraih Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), sekali gus mewakili negara di Laos pada 26 Januari 2024 nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI