GEORGE TOWN – Tidak semua kebahagiaan yang ditayang pasangan suami isteri di media sosial merupakan realiti kehidupan sebenar mereka dalam rumah tangga.
Terdapat pasangan terutama si isteri mengatakan, tindakan menayangkan kemesraan bersama suami kepada umum adalah cara mereka meluahkan perasaan duka, kecil hati dan putus asa dalam perhubungan.
Malah, ada yang berpendapat itu sebahagian daripada terapi diri tatkala melayan kesedihan.
Seorang eksekutif pemasaran yang mahu dikenali Zizie, 46, berkata, dia memilih untuk mengubati kesedihan di saat rumah tangga yang dibina hampir dua dekad kini retak angkara kehadiran orang ketiga.
Akui ibu kepada tiga cahaya mata itu, media sosial seperti Facebook dan TikTok menjadi medium luahan perasaan terbuku meskipun hakikatnya ia adalah palsu.
“Siapa yang mahu derita bila mana rumah tangga yang dibina hampir 20 tahun ini kini bagaikan retak menanti belah.
“Saya memilih media sosial bukan sebagai tempat melemparkan amarah atau kebencian terhadap seseorang, malah menjadi ruang mengekspresikan kebahagiaan walau ia hanya palsu.
“Saya tidak kisah dengan kecaman rakan atau saudara-mara yang melihat bait-bait video keintiman atau gambar saya dan suami, sedangkan mereka juga tahu itu hanya wayang semata-mata,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Seorang lagi kakitangan kerajaan yang mahu dikenali Fana, 39, memberitahu, dia memuat naik video dan gambar lamanya dan suami semasa saat bahagia.
“Orang tak tahu, hati menangis dan kecewa saat memuat naik video atau gambar itu. Orang nampak saya bahagia dengan sekeping gambar genggaman tangan dan dua pasang kaki, namun sebenarnya derita dirasai.
“Saya cari kebahagian bukan kesedihan, namun terpaksa berpura-pura. Mungkin ini caranya untuk menerangkan perasaan,” katanya yang berpisah dengan suami pada Februari lalu gara-gara tidak mendapat restu isteri pertama. -KOSMO! ONLINE















