fbpx

‘Saya sudah pesan, jangan main’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari Muhammad Amirul Haikal yang dikhuatiri lemas di tali air Lorong Indera Sempurna 2, Kuantan semalam.

KUANTAN – “Saya sudah pesan, jangan main, jangan mandi (di tali air), dia tidak pandai berenang.”

Itu reaksi Che Jaapa Che Endut, 61, bapa kepada Muhammad Amirul Haikal, 14, yang dikhua­tiri lemas ketika mangsa lemas setelah mandi-manda bersama enam rakannya di tali air Lorong Indera Sempurna 2, di sini pukul 3.50 petang kelmarin.

Che Jaapa berkata, dia tidak menyangka kejadian itu menim­pa anak bongsu daripada tujuh beradik itu kerana anaknya tersebut seorang yang sering mendengar kata.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada pukul 3 petang kelmarin dan mangsa sempat meminta izin untuk keluar ke rumah rakan.

“Saya sangka dia hendak ke rumah kawan untuk bertanya tentang urusan sekolah sebab dia memang jarang keluar pada waktu itu. Biasanya dia akan keluar pada pukul 5 petang dan ke atas untuk bermain bola.

“Saya berharap agar Muhammad Amirul Haikal dapat ditemui segera,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan Perumahan Makmur Seri Damai Jaya, di sini semalam.

Rakan mangsa, Muham­mmad Emil Zakuan Mazri, 14, pula berkata, dia sempat melihat ta­ngan Muhammad Amirul Haikal terkapai-kapai sebelum dibawa arus deras.

“Dia (Haikal) juga minta tolong. Saya terjun cuba selamatkannya, tapi dia tolak tangan saya sehingga terlepas. Saya pun ke tepi (ke tebing semula) kerana arus air sangat deras. Kami cuba mengejarnya melalui tebing tali air sebelum dia tenggelam dan tidak timbul lagi,” ujarnya.

Muhammmad Emil berkata, mereka pernah beberapa kali ke tali air berkenaan untuk mandi-manda.

“Kami cuma sempat mandi seminit sahaja di situ kerana air terlalu dalam, kemudian Haikal tergelincir sebelum dibawa ke tengah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada pukul 8 pagi semalam melibatkan 45 anggota agensi penyelamat.

“Pada peringkat awal operasi, kita menggunakan bantuan anjing pengesan K9 untuk mengesan dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh.

“Melihatkan arus air sungai yang laju, tiada kemungkinan mangsa tersangkut di sepanjang aliran sungai, ditambah pula permukaan sungai ini pun agak bersih berikutan kerja-kerja pembersihan yang dilakukan,” ujarnya.

Setakat pukul 5.30 petang semalam, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Kilau, di sini masih belum ditemui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI