fbpx

Konflik Palestin-Israel: Zionis tidak akan berundur dari Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENTERA Israel bersiap sedia memasuki Semenanjung Gaza kelmarin. – AFP

TEL AVIV – Pemimpin-pemimpin Israel berkata kelmarin bahawa Rejim Zionis akan meneruskan perang terhadap Hamas di Semenanjung Gaza meskipun berdepan tekanan masyarakat antarabangsa termasuk daripada sekutu utamanya, Amerika Syarikat (AS).

Presiden Joe Biden memberi­tahu dalam satu acara bahawa ‘sebahagian besar dunia menyokong Israel’ apabila Rejim Zionis melancarkan perang selepas 7 Oktober lalu, tetapi Israel kehilangan sokongan itu kerana melakukan pengeboman secara sembarangan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS John Kirby kelmarin mengulangi kebimbangan Biden mengenai korban penduduk awam di Semenanjung Gaza.

“Dan kami telah menyatakan kebimbangan mengenai pembunuhan dalam kempen ketenteraan ini (Israel), walaupun kami mengakui Hamas yang memulakan perang,” kata Kirby.

Biden sendiri telah mengetengahkan kebimbangan Washington ‘secara terbuka dan peribadi’ dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, katanya.

Bagaimanapun, di sebalik kritikan AS, Israel berikrar untuk meneruskan perangnya.

“Israel akan meneruskan perang menentang Hamas sama ada dengan atau tanpa sokongan masyarakat antarabangsa,” kata Menteri Luar, Eli Cohen.

​Gencatan senjata akan menjadi ‘hadiah’ buat Hamas dan ‘membenarkan ia kembali serta mengancam penduduk Israel’.

Netanyahu juga berkata bahawa Rejim Zionis akan bertahan.

“Tiada apa yang akan menghalang kami. Kami akan berjuang hingga ke akhirnya, sehingga kami mencapai kemenangan dan tidak kurang daripada itu,” katanya.

Peperangan di Semenanjung Gaza kini berada dalam bulan ketiga dan bermula selepas serangan pejuang Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober lalu yang menurut Rejim Zionis, membunuh seramai 1,200 orang, kebanyakan mereka orang awam.

Serangan balas bertubi-tubi Israel menyebabkan Gaza berada dalam kemusnahan. Setakat kelmarin, lebih 18,600 penduduk Gaza telah terkorban, kebanyakan mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Perang tersebut juga menyebabkan kemusnahan dan kerosakan yang sukar diba­yangkan terutamanya kepada infrastruktur awam seperti jalan raya, sekolah serta hospital.

Sehari selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menyokong gencatan senjata segera di Gaza, Israel melancarkan lebih banyak serangan ke atas wilayah Palestin itu, ter­utamanya di Bandar Gaza, Khan Younis dan Rafah.

Hujan musim sejuk kini melanda Gaza di mana PBB meng­anggarkan 1.9 juta daripada 2.4 juta penduduknya hilang tempat tinggal. Mereka kini tinggal di khemah-khemah sementara kerana kehabisan bekalan makanan, air minuman, ubat serta bahan api.

PBB memberi amaran bahawa penularan penyakit termasuk meningitis, jaundis dan jangkitan saluran pernafasan kini melonjak.

Seorang penduduk Gaza dikenali sebagai Ameen Edwan ber­kata, keluarganya telah berkhemah bersama beribu-ribu warga Gaza yang lain di perkarangan hospital Al-Aqsa Martyrs di tengah Gaza.

“Air hujan meresap masuk. Kami tidak boleh tidur. Kami cuba mencari penutup nilon tetapi tidak menemui apa-apa, jadi kami menggunakan batu dan pasir untuk mengelakkan air dari­pada masuk,” katanya.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, sebanyak 107 trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza dari Mesir kelmarin, jauh di bawah purata harian 500 buah trak sebelum 7 Oktober lalu.

Rejim Zionis pula mengumumkan bahawa pihaknya kehilangan 115 askar, termasuk 10 pada Selasa lepas, hari paling dahsyat sejak serangan darat bermula pada 27 Oktober 2023. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI