fbpx

Bekas pereka sambilan mengaku bersalah ‘stalk’ Acacia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan Mohamad Safiq (tengah) ketika dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Shah Alam.

SHAH ALAM – Seorang bekas pereka sambilan menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan mengganggu jurugambar wanita menerusi aplikasi X di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Safiq Rosli, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang merupakan bekas pereka sambilan didakwa menggunakan akaun @sopert99 secara berulang mengganggu mangsa, Acacia Mardiana Daud, 31, di akaun “@ShaFoShizzle”.

Gangguan itu kemudian dibaca di sebuah rumah di daerah ini, yang mana tertuduh sepatutnya tahu gangguan tersebut boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa. Antara gangguan itu adalah membabitkan luahan perasaan.

Kesalahan dilakukan pada 15 Julai hingga 21 Julai 2023.

Berikutan itu, tertuduh didakwa atas kesalahan menghendap di bawah seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas memohon mahkamah merujuk kepada Seksyen 347 dan 348 Kanun Tatacara Jenayah selepas menerima laporan perubatan psikiatri tertuduh dari Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak seperti diarahkan mahkamah pada Ogos lalu.

“Laporan perubatan didapati ada ketidakwarasan terhadap tertuduh, tetapi dinyatakan oleh pegawai perubatan bahawa dia fit for trial and fit for defense himself. Bermakna perbicaraan penuh boleh dijalankan walaupun tertuduh mengaku bersalah.

“Ia sama seperti dalam kes bunuh empat mangsa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana mahkamah membenarkan tertuduh, Rasidi Ismail dibicarakan walaupun membuat pengakuan bersalah,” katanya.

Bagaimanapun, Peguam Fithril Hakim Ab. Jalil mempersoalkan kenyataan Zilfinaz yang dikatakan seolah-olah tidak membenarkan anak guamnya mengaku bersalah.

“Saya mohon kepada Majistret untuk pihak pendakwaan menjelaskan adakah permohonan perbicaraan dan rujukan kepada kes sedemikian kerana tidak membenarkan anak guam mengaku salah?

“Adalah menjadi hak kepada anak guam saya atau mana-manapun tertuduh dalam mana-mana kes untuk mengaku bersalah walau apapun hukuman yang diberikan,” tegasnya.

Mahkamah kemudian menerima pengakuan bersalah Mohamad Safiq dan pihak pendakwaan memohon tarikh baharu bagi fakta kes serta hukuman.

Sasha Diana menetapkan 19 Disember ini untuk tujuan tersebut.

Mohamad Safiq merupakan individu pertama didakwa di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan selepas akta tersebut dikuatkuasakan pada tahun ini. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI