fbpx

Afendi didakwa bunuh ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Afendi ketika dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh ibu dan bapanya. Foto oleh SHIDIQQIN ZON.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Sungai Penchala minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Afendi Muhammad Agus, 42, selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh dibawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Semasa pertuduhan dibacakan, tertuduh mengangguk dan faham pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa membunuh bapanya Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72.

Kesalahan itu didakwa di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 di sini masing-masing pukul 7.10 malam dan 7.20 malam pada 9 Disember lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Semasa prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Januari depan bagi sebutan semula kes.

Pada 9 Disember lalu Kosmo! Online melaporkan jeritan minta tolong seorang wanita yang didengari jirannya merungkaikan penemuan pasangan warga emas mati dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini.

Menurut jiran, jeritan itu dipercayai daripada wanita yang dibunuh anak lelakinya berusia 40-an kira-kira pukul 7 malam.

Pasangan yang dibunuh itu merupakan keluarga yang dikenali ramai penduduk di sini sekali gus menimbulkan suasana suram dalam kalangan penduduk.

Sejurus selepas kejadian, suspek yang melarikan diri kemudian berjaya diberkas polis dan ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di sini.

Suspek adalah anak ketiga daripada empat adik beradik itu juga dipercayai baru sahaja diikat jamin oleh bapanya atas kesalahan jenayah.

Hasil siasatan polis kemudian mengesahkan suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI