SHAH ALAM – Kepesatan ekonomi dan peluang pekerjaan di kawasan bandar termasuk di Lembah Klang membuatkan ramai perantau datang mencuba nasib untuk memperbaiki kehidupan keluarga, namun tidak semua berjaya mencapai impian tersebut.
Ini berikutan mereka terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi, hinggakan ada yang dihalau dari rumah sewa dan tinggal di bawah jejambat sama ada bersendirian atau bersama ahli keluarga.
Keadaan ini secara tidak langsung membuatkan Selangor tidak pernah terlepas daripada golongan asnaf, termasuk dari Asnaf Ibnu Sabil dalam kalangan komuniti perantau yang harus disantuni setiap tahun.
Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS), Md. Yusmizan Yusuf berkata, seramai 5,264 Asnaf Ibnu Sabil dalam kalangan komuniti perantau telah dibantu LZS sepanjang tempoh tahun lalu hingga Oktober 2023 dengan jumlah bantuan segera hampir mencecah RM300,000.
Katanya, rata-ratanya mereka yang ‘tersadai’ berusia 21 hingga 40 tahun yang datang dari luar negeri Selangor.
Ujarnya, mereka terhimpit dengan kos sara hidup yang menekan apabila tidak mendapat pekerjaan yang sesuai, selain mempunyai masalah kesihatan.
“Untuk datang ke Selangor khususnya, kita kena berfikir dan merancang sebelum berhijrah.
“Kita perlu memikirkan soal kos sara hidup seperti keperluan makan minum, pakaian dan tempat tinggal di bandar. Kalau tiada perancangan teliti, memang akan berlaku kesusahan kerana kos di bandar ini adalah tinggi.
“Kesukaran pastinya pada peringkat awal mencari pekerjaan termasuk mereka yang tidak mempunyai sijil atau kelayakan akademik serta kemahiran yang diperlukan oleh bakal majikan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, Klang dan Petaling merupakan daerah tumpuan kepada komuniti perantau ini yang dikatakan berpotensi dan dijanjikan peluang kerja yang
tinggi.
Md. Yusmizan turut memaklumkan, pihaknya akan melakukan semak silang profil dan rekod bantuan dengan agensi zakat negeri asal mereka dan memberikan bantuan segera berupa tambang bas dan belanja makan minum untuk mereka pulang semula ke negeri asal mereka.
“Langkah ini bagi mengelakkan kehidupan komuniti perantau berakhir sebagai peminta sedekah atau menjadi gelandangan.
“Kita akan memaklumkan kepada agensi zakat negeri tersebut untuk membuat tindakan susulan apabila mereka tiba di negeri masing-masing,” ujarnya.













