fbpx

Dewan Negara: KPM tingkat pengetahuan keselamatan siber di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) giat menerapkan kesedaran penggunaan peranti digital dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan Pendidikan Moral di sekolah rendah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, di peringkat menengah pula kandungan berkaitan keselamatan digital diajar dalam tajuk Keselamatan Data dalam mata pelajaran Asas Sains Komputer dan tajuk Komputer dan Impak dalam mata pelajaran Sains Komputer.

“Guru-guru juga diberikan latihan, pengiktirafan dan pensijilan melalui program Certified CyberSecurity Awareness Educator bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber mereka serta berupaya menerapkan kewarganegaraan digital yang bertanggungjawab dan beretika dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Sehingga kini, seramai 124 orang guru telah menerima pensijilan dan pengiktirafan serta memainkan peranan sebagai jurulatih dan pembimbing di daerah masing-masing,” katanya ketika di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Noorita Sual yang meminta KPM menyatakan perancangan dalam memastikan murid-murid di peringkat sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mendapat pendedahan dan pengetahuan berkenaan dengan keselamatan siber (cybersafety) apabila memasuki alam dunia siber.

Kah Woh berkata, menerusi platform DELIMa murid boleh bermain gamifikasi Interland yang dihasilkan oleh Google iaitu permainan pengembaraan dalam talian yang mengajar keselamatan Internet melalui empat permainan yang menyeronokkan dan mencabar.

“Murid diajar cara membuat kata laluan yang selamat, cara menghindari penipuan dalam talian, dan bagaimana bersikap bijak dalam memberi informasi peribadi di Internet.

“KPM juga sedang bekerjasama dengan Cybersecurity Malaysia dalam menambahbaik Modul Etika Siber Nasional (ESN) yang memberi penekanan kepada enam topik utama iaitu Perdagangan Digital, Hak dan Tanggungjawab Digital, Privasi dan Keselamatan Digital, Fasih Digital, Etiket Digital dan Kesejahteraan Digital,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI