fbpx

Rosmah kemuka representasi ketiga mohon gugur 17 pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor mengemukakan representasi ketiga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7.09 juta dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Rosmah memaklumkan, representasi baharu itu yang dihantar semalam mengandungi beberapa perkembangan dan isu penting yang perlu dipertimbangkan oleh Peguam Negara.

Sehubungan itu, beliau memohon Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan prosiding hari ini bagi membolehkan kandungan representasi itu diteliti terlebih dahulu.

Representasi itu merupakan yang ketiga dihantar oleh isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas representasi pertama dan kedua yang dikemukakan masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos lalu masih belum diputuskan oleh AGC.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan pihak pendakwaan menerima representasi itu semalam namun beliau belum berkesempatan untuk mentaklimatkannya kepada Peguam Negara.

Beliau berkata, pendakwaan tidak membantah penangguhan kerana kandungan representasi itu menyentuh isu serius yang juga akan dihujahkan dalam permohonan untuk membatalkan pertuduhan Rosmah.

Bagaimanapun Hakim K. Muniandy menolak permohonan penangguhan dan mengarahkan pihak-pihak memulakan penghujahan dalam permohonan itu.

Rosmah, 72, yang baru menyambut ulang tahun kelahiran tiga hari lalu (10 Disember) memohon menggugurkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai yang dihadapinya.

Sementara itu, pasukan pembelaan menghujahkan, pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh isteri bekas Perdana Menteri adalah cacat dan mengelirukan kerana tidak mendedahkan siri transaksi atau pergerakan wang ke dalam akaun beliau.

Peguam Amer Hamzah Arshad berhujah, 12 pertuduhan pengubahan wang haram itu juga kabur kerana tidak menyatakan apa aktiviti haram atau kesalahan predikat daripada mana hasil dikatakan telah diperoleh.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 dan 17 Januari depan bagi menyambung penghujahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI