fbpx

Pegawai kewangan galas harapan melestari alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETUA pegawai kewangan mampu mempercepatkan progres sifar karbon. – Gambar hiasan

SEBANYAK 47 peratus perniagaan di Asia Pasifik tiada pelan pelepasan karbon di sebalik ancaman yang berlaku terhadap alam sekitar pada ketika ini.

Hal ini didedahkan oleh Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC) dan firma perkhidmatan profesional PwC dalam laporan baharu mereka.

Berdasarkan kaji selidik dalam kalangan 1,000 profesional kewangan senior di seluruh dunia itu menunjukkan bahawa responden di rantau Asia Pasifik masih belum menghasilkan pelan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

“Lebih membimbangkan, 69 peratus responden tersebut tidak ada rancangan untuk membangunkan pelan pelepasan.

“Jika dibandingkan dengan angka global, sebanyak 46 peratus responden belum menyediakan pelan pelepasan dengan 70 peratus daripada mereka menyatakan tidak ada hasrat membangunkan pelan itu,” tulis laporan berkenaan.

Laporan itu juga menyatakan bahawa penglibatan ketua pegawai kewangan dan pasukan kewangan di dalam perancangan pengurangan pelepasan karbon berkemungkinan mempercepatkan progres lestari.

Katanya lagi, golongan itu seharusnya melaksanakan pelan pelepasan karbon, walaupun mereka bukan ‘pemilik’ agenda kelestarian.

“Ketua pegawai kewangan boleh memasukkan keutamaan peralihan iklim ke dalam perancangan perniagaan dan peruntukan sumber.

“Ini membolehkan laporan kelestarian berkualiti tinggi secara dalaman dan luaran.

“Adalah disarankan agar pasukan kewangan membangunkan kemahiran dan kepakaran untuk terus meningkatkan sumbangan mereka terhadap perubahan iklim,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif ACCA, Helen Brand berkata, kerjaya perakaunan dan kewangan mampu membolehkan organisasi mencapai cita-cita sifar karbon secara adil dan inklusif.

“Mereka juga boleh menyokong peralihan adil kepada ekonomi rendah karbon dengan membantu organisasi meraih manfaat perniagaan.

KEBANYAKAN profesional kewangan di Asia Pasifik masih belum mempunyai pelan mengurangkan pelepasan karbon untuk syarikat masing-masing. – Gambar hiasan

“Laporan ini berperanan sebagai seruan untuk akauntan profesional memainkan peranan mereka bagi membantu organisasi mereka mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong perubahan iklim,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden IFAC, Asmaa Resmouki pula mengulas, kemahiran perakaunan dan profesional kewangan boleh memainkan peranan penting dalam memerangi perubahan iklim.

“Laporan ini menggabungkan kajian IFAC sebelum ini terhadap pendedahan korporat mengenai matlamat pelepasan dan pelan peralihan bagi melaksanakannya.

“Syarikat-syarikat perlu menambah baik kegunaan keputusan pelan peralihan mereka dan bagaimana menyampaikannya kepada pihak-pihak berkepentingan,” kongsinya.

Ketua Transformasi Kewangan, PwC, David Russell menambah, laporan itu mengetengahkan jurang kritikal apabila wujud perniagaan yang tidak memiliki pelan jelas untuk memenuhi sasaran pelepasan karbon.

“Pemimpin kewangan bukan sahaja memacu perubahan ke arah kelestarian tetapi membina keyakinan di dalam pelaporan kemajuan ke arah matlamat kelestarian.

“Ketua pegawai kewangan boleh memainkan peranan penting dalam mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar bagi menyumbang secara positif kepada agenda iklim,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI