fbpx

Selenggara RKAT, anggota bersyukur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota yang tinggal di RKAT, Taman Kluang Barat bagi fasa pertama berasa seperti tinggal di rumah baharu selepas kerja-kerja penyelenggaraan telah siap sepenuhnya.

KLUANG – Kerja-kerja penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) fasa satu di Taman Kluang Barat di sini, yang telah siap sepenuhnya pada akhir November lalu disambut baik oleh Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menduduki kawasan perumahan tersebut.

Sebelum ini, perumahan yang sudah berusia antara 26 hingga 32 tahun itu amat daif de­ngan pelbagai kerosakan untuk diduduki.

Pegawai Logistik, Markas Ste­sen Staf Kluang (MSS) Kem Mahkota ­Kluang, Mejar Zulkifly Bakhtiar berkata, ­penyelenggaraan yang bermula Ogos tahun lalu itu melibatkan pembaikan pada bumbung, tandas, ruangan dapur dan bilik tidur, menukar kerosakan lampu, kipas, mengecat luar dan dalam serta penggantian pendawaian elektrik yang dilaksanakan melalui peruntukan yang telah disalurkan.

Mejar Zulkifly Bakhtiar

“Kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan 12 buah rumah daripada 152 unit dalam perancangan fasa satu.

“Untuk tahun 2024, mengikut perancangan, senggaraan akan melibatkan sebanyak 88 buah rumah lagi bergantung kepada peruntukan kewangan yang diluluskan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Zulkifly, rumah yang telah diselenggarakan adalah jenis G yang mempunyai satu ruang tamu, tiga bilik tidur, satu ­ruang dapur serta dua tandas untuk menempatkan anggota Koperal ke bawah.

Koperal Tengku Muhammad Noor Tengku Sulaiman, 34, dari Rejimen ke 33 Artileri Diraja (RAD) berkata, semasa menduduki RKAT di Taman Kluang Barat selama lapan tahun, keadaannya amat tidak selesa sama sekali.

Koperal Tengku Muhammad Noor

Menurut beliau, kemudahan yang memerlukan senggaraan termasuklah pada bahagian bumbung, yang mana jika hujan turun rumahnya akan dipenuhi air ke­rana banyak bahagian bocor.

“Ada bahagian yang tidak memerlukan belanja besar, kami akan membuat penggantian secara berperingkat bagi memastikan rumah ini lebih selesa.

“Selepas kerja penyelenggaraan ini, kami rasa seperti tinggal dalam ‘rumah baharu’ apabila setiap kemudahan yang sebelum ini rosak serta tidak boleh digunakan sudah diganti baharu,” katanya.

Seorang lagi anggota, Kope­ral Muhammad Nur Hidayat Mat Said, 30, dari 7 Skuadron Sembo­yan Diraja (RSD) berkata, walaupun telah tiga tahun menetap di RKAT ini, beliau turut merasai kesukaran tinggal di rumah yang mengalami kerosakan.

Koperal Muhammad Nur Hidayat

Katanya, peruntukan yang disalurkan untuk penyelenggaraan RKAT amat baik dan harus dilaksanakan secara menyeluruh di semua RKAT yang sudah uzur atau tidak sesuai diduduki.

Tambah beliau, langkah penyelenggaraan itu amat tepat sekali dan ia harus dilaksanakan di semua kediaman keluarga yang sudah uzur atau tidak sesuai diduduki.

“Saya tidak bimbang lagi untuk tinggalkan isteri serta anak ketika ditugas ke perbatasan,” ujarnya.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI