fbpx
SERAMAI 142 golongan wanita termasuk bayi ditahan tentera Israel di Gaza sejak & Oktober lalu. - Foto Getty Images

Konflik Palestin-Israel: Zionis tahan 142 wanita, bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANDAR GAZA  –  Israel menahan seramai 142 kanak-kanak perempuan, bayi dan wanita sepanjang serangan ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu, kata Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan serta Kelab Banduan Palestin seperti laporan akhbar The New Arab semalam.

Kenyataan bersama kedua-dua organisasi itu memberitahu, tahanan wanita Palestin dikurung  di beberapa penjara Israel termasuk di Damon dan Hasharon.

Kedua-dua kumpulan itu sebelum ini mengetengahkan isu penderaan dan penganiayaan terhadap tahanan Palestin di penjara Israel.

Menurut mereka, pihak berkuasa Israel enggan mendedahkan maklumat tentang tahanan dari Gaza itu  seperti bilangan yang ditahan, lokasi tahanan dan keadaan kesihatan mereka.

“Terdapat kebimbangan serius tentang nasib banduan tersebut berikutan imej mengerikan dan pengakuan mengejutkan daripada penduduk yang ditangkap tentera Israel  di Gaza.

“Kami tidak menolak kemungkinan  tentera penjajah (Israel) melaksanakan hukuman mati di lapangan terhadap tahanan dari Gaza,” tambah kenyataan sama, merujuk kepada rakaman lelaki-lelaki Palestin di Gaza yang hampir dibogelkan dan diikat oleh tentera Rejim Zionis.

Pentadbiran penjara Israel mengumumkan pada akhir November lalu bahawa terdapat 260 tahanan dari Gaza yang diklasifikasikan sebagai  pejuang Palestin.

Kelab Tahanan Palestin menyatakan bahawa Israel telah menahan sekurang-kurangnya 3,730 penduduk Palestin sejak 7 Oktober lalu.

Sebelum perang di Gaza bermula, jumlah tahanan Palestin di penjara-penjara  Israel adalah sekitar 4,000 orang setakat Jun 2023.

Lebih 18,000 penduduk di Gaza telah terkorban, ramai daripada mereka wanita dan kanak-kanak dan sekurang-kurangnya 49,600 yang lain parah dalam perang antara Israel dengan Hamas. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN