SKUAD Harimau Malaya boleh dikatakan berada pada tahap prestasi terbaik sebelum mengharungi kempen Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung di Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari depan.
Sebagai bukti, pasukan negara kendalian Kim Pan-gon kini berada dalam kelompok 130 pasukan terbaik dunia berdasarkan ranking terkini dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FIFA) baru-baru ini.
Bagaimanapun, seperti ditegaskan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin fokus utama pasukan kebangsaan tahun depan bukanlah Piala Asia.
Sebaliknya, Hamidin mahu skuad Harimau Malaya berusaha untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 buat kali pertama sekali gus menjadi 18 negara terbaik benua Asia.
Buat masa ini, Malaysia masih lagi bersaing dalam aksi kelayakan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas mengharungi dua perlawanan bulan lalu menentang Kyrgyzstan dan Taiwan.
Pada sidang media sebelum ini, Pan-gon mendedahkan sasaran yang diletakkan kepada anak-anak buahnya adalah untuk mengutip 12 mata pada saingan peringkat kumpulan kali ini.
Kini, Malaysia berada di landasan terbaik untuk merealisasikan harapan tersebut apabila berjaya mendahului Kumpulan E dengan mengutip enam mata daripada dua perlawanan.
Bagaimanapun, tugas Malaysia dilihat bukan mudah kerana perlu menentang Oman dua kali pada kalendar antarabangsa bulan Mac depan sebelum kembali bertemu Kyrgyzstan di tempat lawan dan Taiwan di laman sendiri.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli percaya sasaran 12 mata yang diletakkan kini boleh dianggap realistik untuk dicapai dengan syarat pasukan tidak boleh tewas pada baki perlawanan nanti.
“Kita kena dapat enam mata lagi dan sekarang kita boleh lihat sasaran tersebut agak realistik kerana sudah separuh jalan.
“Secara jujur, saya percaya kita tidak mempunyai masalah untuk mengutip tambahan tiga mata ketika bertemu Taiwan sekali lagi tetapi perlu mendapat ikhtiar bagi mencuri lagi tiga mata.
“Mungkin jika ada rezeki kita boleh elakkan kekalahan ketika bertemu Oman atau mencipta kejutan menentang Kyrgyzstan di tempat lawan.
“Apa yang pasti, saya harap Harimau Malaya tidak lagi menoleh ke belakang kerana peluang sudah di depan mata,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Sementara itu, bekas pengendali skuad Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah turut berpendapat corak permainan positif yang diterapkan oleh Pan-gon
sebagai kunci untuk layak ke pusingan seterusnya.
“Selepas menyaksikan dua perlawanan. Saya positif kita boleh dapat 12 mata dan tidak terkejut jika meraih 13 mata selepas aksi kumpulan berakhir nanti.
“Kita boleh lihat bagaimana Malaysia mempamerkan corak permainan meyakinkan dengan semangat juang tinggi pemain pada dua perlawanan lepas juga wajar dipuji.
“Harap mereka dapat teruskan momentum positif bagi memastikan misi untuk lolos ke kelayakan ketiga menjadi kenyataan,” katanya.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke kelayakan ketiga Piala Dunia 2026 yang bakal mengumpulkan 18 negara terbaik Asia.
Sebanyak lapan slot automatik diberikan oleh FIFA kepada Asia menjadi rebutan untuk ke kejohanan bola sepak terbesar antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada nanti.















