fbpx

Harga sawi naik RM2, cili merah dijual RM17 sekilo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARGA sayur-sayuran dijangka naik sehingga 40 peratus sehingga akhir tahun ini akibat musim tengkujuh yang melanda negara. – GAMBAR HIASAN

IPOH – Harga sayur-sayuran direkodkan meningkat di pasar-pasar awam di sekitar negeri ini termasuklah di bandar raya ini sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Kosmo! di pasar-pasar awam di sekitar bandar raya ini dan lain-lain kawasan seperti Batu Gajah, Seri Iskandar dan Manjung mendapati, kena­ikan harga sayur-sayuran tersebut berlaku sejak minggu lalu terutamanya jenis berdaun.

Seorang peniaga, Mohd. Hamidi Ishak, 39, berkata, antara sa­yur yang didapati naik harganya ialah sawi iaitu dijual pada harga RM8 sekilogram berbanding RM6 minggu lalu.

“Begitu juga dengan pak choy, harga jualan ketika ini ialah RM10 sekilogram berbanding RM7, manakala kailan pula kami jual antara RM10 hingga RM12 sekilogram berbanding RM7 atau RM8 bagi kuantiti berkenaan.

“Kami yang menerima sa­yur-sayuran tersebut daripada pembekal tiada pilihan selain menaikkan harga jualan bagi memastikan mendapat pula­ngan setelah mengeluarkan modal lebih ekoran kenaikan kos bahan tersebut,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Seorang lagi peniaga, Nur Zai­ty Mohd. Rashid, 37, berkata, turut mengalami kenaikan harga termasuklah salad iaitu dijual RM14 sekilogram berbanding RM10 minggu lalu.

Ujarnya, selain salad, timun juga mencatatkan kenaikan yang mana ia dijual pada harga RM5 sekilogram berbanding RM4 hingga RM4.50 pada kuantiti sama, selain tomato iaitu RM8 sekilogram berbanding RM7 pada minggu lalu.

“Cili merah juga naik iaitu RM17 sekilogram berbanding RM15 pada minggu lalu. Lain-lain sayur tidak naik secara ketara, sebagai contoh kobis bulat RM4 sekilogram, terung panjang RM9 sekilogram dan lobak merak (RM5 sekilogram).

“Harga sayur-sayuran ini naik turun, namun mungkin kenaikan kali ini adalah disebabkan oleh musim tengkujuh jadi tanaman tersebut kurang menjadi di kebun-kebun,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Ca­meron Highlands, Datuk Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid berkata, kenaikan harga sayur-sayuran berdaun dijangka me­ningkat antara 30 hingga 40 peratus menjelang hujung bulan ini.

Beliau menjelaskan, ia berkemungkinan berpunca daripada musim hujan yang dialami ketika ini, sebagaimana yang direkodkan berlaku pada setiap hari di Cameron Highlands.

“Mengikut jangkaan, musim tengkujuh ini dijangka berterusan sehingga hujung tahun ini, jadi dari semasa ke semasa kenaikan harga sayur berdaun seperti sawi dan pak choy akan berlaku sehingga akhir 2023,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI