fbpx

Zulkifli jelas hukum salur zakat kepada rakyat Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli Mohamad Al-Bakri

PETALING JAYA – Apakah hukum bagi syarikat-syarikat korporat besar yang berniat menyalurkan zakat kepada rakyat Palestin, khususnya Gaza pada saat ini?

Menjawab pertanyaan berkenaan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, terdapat tiga pendapat ulama tentang hal tersebut.

Menurut beliau, mengikut Ulama Syafi‘iyyah dan Hanabilah, zakat tidak boleh dipindahkan ke negara lain yang jaraknya membolehkan untuk diqasarkan solat.

“Bagi Ulama Malikiyyah, mereka juga melarang memindahkan zakat ke jarak yang melebihi jarak perjalanan yang membolehkan mengqasarkan solat, kecuali bagi mereka yang memerlukan zakat tersebut di selain negara di mana harta itu berada.

“Manakala, Ulama Hanafiyyah berpendapat bahawa makruh memindahkan zakat selagi mana pemindahan tersebut bukan kerana suatu maslahah, contohnya kepada kaum kerabat,” katanya dalam sebuah kenyataan, semalam.

Tambah Zulkifli, lebih baik sekiranya zakat itu dibayar dan diberi kepada Majlis Agama Islam Negeri masing-masing terlebih dahulu.

Bagaimanapun, keadaan semasa di Gaza yang masih meruncing, pelbagai bentuk penyaluran samada zakat, infaq, atau apa cara sekalipun perlu disampaikan ke sana dengan segera.

“Kalau ada sejumlah wang yang diberikan oleh agensi mengurus zakat untuk diagihkan sendiri kepada asnaf melalui skim khas berupa wakalah agihan kepada para pembayar zakat untuk membayar sendiri kepada asnaf, maka berikanlah kepada Palestin.

“Inilah yang menurut saya lebih baik kerana meraikan kedua-dua pihak yang tidak dapat dinafikan lagi kedua-duanya sangat memerlukan kepada zakat tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI