fbpx

Sindiket sasar mangsa rakyat India, Singapura ditumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli menunjukkan rampasan barangan sindiket skim pelaburan tidak wujud pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket dikesan menawarkan skim pelaburan tidak wujud iaitu Alpa AI (Alphaai.vip) menerusi platform pasaran wang kripto palsu yang menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat India.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ahli sindiket tersebut telah membina laman web palsu dan mencipta graf pasaran saham palsu bertujuan memperdaya pelabur tersebut.

“Sindiket ini didapati menterjemah skrip penipuan yang pada asalnya dalam bahasa Cina kepada Inggeris dan seterusnya Hindi untuk digunakan bagi memperdaya mangsa dalam kalangan rakyat India.

“Bertindak atas maklumat kegiatan pusat panggilan penipuan, JSJK telah menjalankan serbuan dan tangkapan di sebuah premis di Kuala Lumpur pada Khamis lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, hasil serbuan itu, tujuh individu ditahan melibatkan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan, tiga lelaki warga China dan seorang lelaki warga Taiwan.

“Mereka yang ditahan berusia lingkungan 27 hingga 42 tahun yang berperanan selaku pengurus pejabat, pengurus sumber manusia, penterjemah skrip, pereka laman web dan pembantu pejabat.

“Antara yang dirampas ialah 13 telefon bimbit, empat komputer riba, tiga set komputer, satu router, satu modem, satu iPad, satu tablet dan wang tunai (pelbagai mata wang),” ujarnya.

Bagi kes seterusnya, Ramli berkata, JSJK Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang telah menyerbu sebuah premis di Seri Kembangan pada Rabu lalu berhubung perjudian dalam talian.

“Seramai tujuh individu warga tempatan berusia 18 hingga 30 tahun disyaki terlibat aktiviti perjudian dalam talian berjaya ditahan. Seorang daripada mereka berperanan selaku penyelia dan enam individu lain sebagai pegawai khidmat pelanggan.

“Siasatan awal mendapati, sindiket ini menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dengan menyasarkan rakyat Singapura sebagai mangsa,” ujarnya.

Turut dirampas adalah tujuh set komputer, 25 telefon bimbit, satu router, satu kunci rumah, sembilan kad ATM dan enam kad sim. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI