fbpx

Selangor rekod kutipan hasil RM2.571 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin ketika menyampaikan sembah Ucapan Taat Setia di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

KLANG – Selangor mencatatkan kutipan hasil berjumlah RM2.571 billion, sehingga 6 Disember lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah ini melebihi 128 peratus dari sasaran kutipan hasil tahun ini berjumlah RM2 billion.

“Ini adalah manifestasi dan bukti kesungguhan barisan penjawat awam dan anggota pentadbiran kerajaan negeri bagi memacu ekonomi negeri dan meningkatkan hasil demi manfaat rakyat jelata.

“Pencapaian ini menggambarkan keyakinan komuniti pelaburan serta rakyat Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah) terhadap sikap dan
kebertanggungjawaban kerajaan Tuanku dalam merencana dan mengagihkan kekayaan negeri secara efektif dan
bersasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sembah Ucapan Taat Setia sempena Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri Istana Alam Shah di sini.

Amirudin memberitahu, antaranya pembangunan di wilayah selatan Selangor iaitu Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS)
dibangunkan dalam kawasan seluas 16,187 hektar.

Ujarnya, kerajaan negeri akan merancang dan memudahcara pembangunan kawasan baharu ini.

“Kerajaan Tuanku turut berhasrat untuk mewujudkan perbandaran baharu di kawasan IDRISS ini seumpama Shah Alam dan Bangi yang untuk didiami terutamanya anak-anak Melayu dan pelbagai kaum menumpang teduh di bumi Selangor yang bertuah ini.

“Turut dihasratkan adalah pentadbiran Lembah Klang Raya yang meliputi empat Bandaraya iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang seperti patik bentangkan pada Belanjawan 2024, November lalu,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Gagasan Lembah Klang Raya ini diilhamkan dari pemerintahan nenda Tuanku iaitu Almarhum Sultan Abdul Samad yang menyatukan semua wilayah di Selangor dan mewujudkan satu sistem pentadbiran dan percukaian moden yang sistematik dan efisien di Selangor.

“Lembah Klang Raya bermatlamat untuk menyatu, menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran empat buah bandar berkenaan bagi memudahcara proses perniagaan dan pembangunan, mengurangkan karenah birokrasi serta memudahkan kehidupan rakyat.

“Tambahan itu, Lembah Klang Raya bertujuan membolehkan Kerajaan Tuanku memulakan proses rejuvenasi bandar-bandar matang bagi menarik pelaburan dalam industri baharu yang berteraskan digitalisasi,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI