fbpx

Malaysia tidak berdepan masalah benam Mesir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Malaysia tidak berdepan banyak masalah membenam Mesir 4-1 dalam aksi penentuan tempat kesembilan hingga 16 pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi. - MHC

KUALA LUMPUR – Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan menepati ramalan apabila menewaskan Mesir 4-1 dalam aksi penentuan tempat kesembilan hingga 16 pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Malaysia yang turun selaku tuan rumah tidak berdepan banyak masalah apabila menguasai sepenuhnya permainan dengan melakukan asakan bertali arus ke arah pintu gol pasukan dari Afrika itu.

Skuad kendalian Muhamad Amin Rahim itu tidak menunggu terlalu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Harris Osman meletakkan Malaysia 1-0 di depan seawal minit kelapan menerusi gol padang.

Kemudian, skuad Young Tigers cuba memburu gol kedua perlawanan dengan melakukan asakan demi asakan, namun keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat aksi suku masa pertama.

Bersambung suku masa kedua, Malaysia hanya memerlukan tempoh seminit untuk menggandakan kedudukan apabila kapten, Muhamad Faris Harizan menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diberikan.

Selepas gol tersebut, Malaysia terpaksa menunggu sehingga ke suku masa ketiga untuk menjaringkan gol ketiga, sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Danish Aiman pada minit ke-44.

Memasuki suku masa keempat, Young Tigers meraih gol keempat hasil pukulan sudut penalti daripada Che Nur Aqilrullah Che Mohd. Khairulzi Anwar pada minit ke-50 sebelum Mesir menjaringkan gol saguhati menerusi Basel Abdelmonem sembilan minit kemudian.

Secara statistik, Malaysia menunjukkan penguasaan pada perlawanan itu apabila dianugerahkan 16 pukulan sudut penalti berbanding dua yang diberikan kepada Mesir.

Menanti Malaysia pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga 12 nanti adalah pemenang perlawanan antara Belgium dan Kanada yang sedang berlangsung ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI