fbpx

430 taska berjaya ‘diputihkan’ JKM – Nancy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 430 taman asuhan kanak-kanak (taska) daripada 1,080 yang beroperasi secara ‘haram’ sebelum ini telah mendapat kelulusan beroperasi dengan sah daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah tersebut adalah setakat 4 Disember lalu dan kesemua taska itu kini telah mematuhi syarat-syarat dan yang telah ditetapkan JKM.

Justeru katanya, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya menghantar anak mereka ke taska yang berdaftar kerana pengoperasian pusat itu adalah tertakluk kepada syarat dan peraturan demi memastikan ia dioperasikan mengikut amalan terbaik.

“Kita juga mohon kerjasama semua pihak, terutamanya ibu bapa dan penjaga sendiri, agar melaporkan taska yang tidak berdaftar kepada JKM demi keselamatan anak-anak kita.

“Bukan bermakna jika dilaporkan, taska tersebut akan ditutup dan akan menyulitkan ibu bapa.

“Tetapi, perlu melihat dari sudut pandangan lebih luas, iaitu mengurangkan risiko kejadian tidak diingini demi kesejahteraan dan keselamatan anak-anak kita,”katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Teo Kok Chee yang mahu pihak kementerian menyatakan pelan tindakan termasuk status terhadap taska tidak berdaftar yang banyak memberi impak negatif hingga berlakunya kes penderaan serta kematian kanak-kanak.

Terdahulu, Nancy memaklumkan, setakat Jun lalu, JKM telah mengenal pasti sebanyak 1,080 buah taska yang beroperasi tanpa pendaftaran yang sah di seluruh negara.

Jelasnya, kesemua taska itu telah dinilai JKM bagi meneliti apakah faktor yang menyebabkan mereka tidak berdaftar.

“Kita memahami permintaan oleh ibu bapa terhadap perkhidmatan taska-taska ini di tempat mereka, namun kita tidak boleh berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Oleh sebab itu, kita mengambil pendekatan untuk “memutihkan” mereka, iaitu membantu taska ini mematuhi syarat dan seterusnya berdaftar,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI