SHAH ALAM – Menu hidangan bersempena Hari Krismas memang membuatkan bukan sahaja penganut agama kristian berselera menikmati hidangan tersebut malah ia turut popular dalam kalangan rakyat di negara ini.
Apatah lagi jika ia diubahsuai oleh cef-cef berkemahiran untuk menjadikan hidangan tersebut bersesuaian dengan selera semua orang bukan sahaja golongan dewasa tetapi juga dalam kalangan kanak-kanak.
Bagi DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City, ia memberi kelainan dalam sentuhan menu yang dihidangkan bersempena Hari Krismas tidak lama lagi dengan membariskan hidangan lazat yang bersesuaian untuk dinikmati bersama keluarga, rakan atau orang tersayang.

Pengurus Besar hotel, Gagan Talwar berkata, bagi membolehkan perayaan tersebut disambut dengan penuh meriah, kami bakal mencipta satu kenangan dan pengalaman bersama yang akan dikenang setiap tahun.
“Cef-cef kami yang berkemahiran telah berusaha mencipta kelainan daripada hasil pengalaman masing-masing dalam bidang ini untuk menyediakan hidangan yang boleh meningkatkan selera menikmati hidangan makanan dengan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pengenalan hidangan bufet sambutan Hari Krismas dan juga Tahun Baru di sini baru-baru ini.
Antara menu menyelerakan yang dihidangkan adalah Beef Wellington, Roasted Leg of Lamb with Rosemary,Masala Rub Baked Salmon with Dill-Salt Crust, Chili and Cajun-Roasted Whole Turkey Honey-Glazed Chicken Ham with Caramelized Sarawak Pineapple dan juga Braised Beef Brisket with Hickory.

Tidak kurang juga bahagian pemanis mulut dan juga pembuka selera yang menerujakan, bakal membuatkan pengunjung menambah hidangan berkali-kali meskipun sudah berasa kekenyangan.
Makan Kitchen yang dihias indah bersesuaian dengan tema sambutan perayaan itu akan mewarnai kegembiraan pengunjung bermula pada malam Hari Krismas dengan tawaran harga bufet antara RM99 untuk kanak-kanak hingga RM198 seorang.
Untuk bufet pada hari Krismas pula iaitu bermula pukul 12.30 hingga 4 petang, ia ditawarkan pada harga antara RM94 untuk kanak-kanak sehingga kepada RM188 seorang. -KOSMO! ONLINE














