fbpx
MEMINATI dandanan sejak kecil dan mempunyai personaliti yang gemar tampil menarik, Kak Ross yang pernah menjadi tular di media sosial pada hujung 2021 kerana menjadi pramugari semula pada usia 40-an kini mempunyai kerjaya baharu yang ‘datang bergolek’ kepadanya iaitu perunding imej anak kapal.

Impak Kak Ross sering berdandan ‘tiptop’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGALANYA bermula sekitar 25 tahun lalu apabila keputusannya untuk keluar dari kampung dan berhijrah ke ibu kota diizinkan kedua-dua orang tua.

Ketika itu, Tengku Rosmita Tengku Jusoh nekad meninggalkan kampungnya di Machang, Kelantan sekali gus mengejar cita-cita dan impiannya bekerja di awan biru.

Berbekalkan sijil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia yang lebih mesra disapa Kak Ross meneruskan langkah dibantu sepupu yang ketika itu menetap di Kuala Lumpur.

Akuinya, cita-citanya bekerja dalam dunia glamor dan dilihat cantik setiap masa sudah timbul sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Antara kerjaya yang diidamkan ketika itu adalah menjadi pramugari, penyampai berita atau kakitangan bank sementelah dirinya suka berdandan sejak kecil.

“Saya seorang anak kampung yang tidak pernah menaiki pesawat tetapi melihat kecantikan pramugari di iklan dalam dada akhbar menjadikan saya tekad untuk memilih kerjaya tersebut.

“Pun begitu, rezeki saya terlebih dahulu di bank sebagai pembantu peribadi (PA) kepada seorang pegawai bank,” tuturnya kepada Aura.

Jelas Kak Ross, sepanjang bekerja di bank, banyak perkara dipelajari dari hari ke hari termasuk kemahiran berkomunikasi, grooming (dandanan) dan lain-lain hal.

Katanya, hampir lapan tahun bekerja, dia terdetik untuk memohon jawatan pramugari di satu syarikat penerbangan tambang murah terkemuka negara.

Akuinya, walaupun agak ‘lambat’ mencuba sementelah usia juga sudah meningkat ketika itu, tetapi ia bukan halangan mencapai impian lama.

“Jadi, saya minta cuti dengan bos dan pergi temu duga pramugari. Berbekalkan pengalaman bekerja di bank, saya bawa semuanya ketika mencuba nasib mencari kerja baharu.

“Alhamdulillah hanya sekali percubaan iaitu pada 2004, saya lulus dan berjaya temu duga itu. Dari situlah semangat bergelar anak kapal yang diidamkan sebelum ini berkobar semula.

“Jujur saya mula menaiki pesawat pada usia 26 tahun, itu pun selepas jadi pramugari. Perasaan ketika itu amat gementar tetapi saya layankan sahaja.

“Paling menarik, penerbangan pertama selepas saya tamat latihan selama beberapa bulan adalah ke Kota Bharu, Kelantan, negeri kelahiran saya,” katanya.

Pun begitu, selepas berkhidmat hampir sedekad, dia yang sudah berumah tangga terpaksa melepaskan kerjaya yang disayanginya atas nasihat pakar perubatan. Dia tidak lagi boleh bekerja di awan biru kerana dirinya ketika itu sedang hamil.

“Pada mulanya saya agak sedih juga, tetapi setelah berfikir dan demi zuriat dalam kandungan, saya nekad untuk lepaskan jawatan.

“Justeru dengan berlapang dada, saya menoktahkan kerjaya sebagai pramugari di AirAsia pada tahun 2013,” katanya.

KAK ROSS kini bertanggungjawab membimbing penampilan kakitangan AirAsia serantau.

Beritahunya, ketika itu dia memang memberi 100 peratus fokus terhadap keluarga lebih-lebih lagi kepada anak tunggalnya yang amat memerlukan perhatian kerana merupakan kanak-kanak istimewa.

Nama Kak Ross sebenarnya mula menjadi perhatian netizen di media sosial sekitar hujung 2021 selepas dia nekad bekerja semula di awan biru pada usia lebih 40 tahun. Perkongsiannya yang memulakan kembali kerjaya dalam dunia penerbangan di media sosial ternyata membuka mata banyak pihak.

Sifatnya yang begitu ceria, aktif dengan dandanan dari atas ke bawah yang tiptop walaupun sedikit berusia sering kali menjadi inspirasi kepada wanita lain terutama pengikutnya.

“Selepas kira-kira 10 tahun tidak bekerja dan jadi suri rumah sepenuh masa, saya mula terdetik kembali ke bidang ini apabila cemburu melihat rakan-rakan yang masih dalam industri.

“Saya pula sememangnya begitu sukakan dunia kecantikan jadi diam-diam saya mulakan ‘misi’ untuk kembali ke dalam dunia pramugari termasuk menurunkan berat badan.

“Ketika tidak bekerja, berat badan saya mencecah 58 kilogram (kg). Jauh beza ketika bekerja sekitar 52kg sahaja.

“Justeru, untuk mempersiapkan diri menghadiri temu duga, saya melakukan diet yang agak ketat sehingga berjaya turun kepada 45kg sahaja.

“Saya ada cara tersendiri untuk diet dan melakukan senaman. Semua saya kongsikan di media sosial,” katanya yang menghadiri temu duga secara senyap-senyap tanpa pengetahuan suaminya yang merupakan seorang juruterbang.

Katanya, selepas hampir dua tahun berkhidmat dengan sebuah syarikat penerbangan baharu, dia akhirnya terpaksa berhenti apabila syarikat itu menutup operasinya Oktober lalu

“Selepas diberhentikan kerana syarikat itu tidak lagi beroperasi saya mendapat tawaran pula dari AirAsia, tetapi bukan sebagai seorang pramugari, namun perunding imej untuk anak kapal di pasaran Asia Tenggara.

“Saya sebenarnya terkejut dengan tawaran ini, ia adalah tanggungjawab dan amanah besar kerana bukan saja perlu mengendalikan dandanan kakitangan di Malaysia, malah di Asia Tenggara juga,” katanya yang berbesar hati diberi kepercayaan tersebut.

Apa yang berlaku itu juga ibarat manifestasi kepada prinsip dipegangnya iaitu personaliti yang baik dan menarik pasti akan dihargai dan disenangi orang.

Ditanya asas penting dalam dandanan yang diaplikasikan kepada anak kapal, Kak Ross sebagai konsultan kecantikan membahagikan elemen dandanan kepada beberapa bahagian utama seperti kerapian rambut, mekap, uniform, aksesori, kulit dan gigi.

“Mekap juga memainkan peranan penting lebih-lebih lagi kepada barisan pramugari kami. Jadi elemen solekan itu penting walaupun bekerja dalam keadaan yang kelam kabut serta terkejar-kejar.

“Bagi aksesori pula, jangan sesekali kosong. Sebagai contoh, barang kemas yang ringkas perlu dipakai pramugari dan jam tangan.

“Akhir sekali saya juga tekankan penjagaan kulit dan gigi kru kabin. Masalah seperti kulit berminyak, berjerawat, kering dan kusam mesti dititikberatkan selain senyuman dan gigi putih berseri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN