fbpx

Siasat saya, keluarga jika tersasar – Ayob Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan.

KUALA LUMPUR – “Banyak tohmahan, dakwaan dan tuduhan dibuat kepada saya. Nak siasat saya, keluarga dan harta silakan”.

Demikian kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay apabila terdapat suara luar yang mempersoalkan integriti beliau sepanjang memikul tanggungjawab.

Beliau tidak gentar dengan dakwaan-dakwaan yang dilemparkan, bahkan akan tetap menjalankan tugas dengan penuh amanah, konsisten dan berintegriti.

“Setiap orang perlu komited dan konsisten dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, selain berusaha untuk berubah kepada kebaikan.

“Tanam iltizam untuk melakukan perubahan. Tidak perlu ambil pusing (peduli) dengan apa yang orang kata kerana saya tidak peduli.

“Sebab itu jika ada tohmahan atau tuduhan dibuat kepada saya, jika tidak betul sila siasat dan ambil tindakan. Saya tidak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel forum integriti sempena sambutan Hari Integriti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) 2023 dengan tema ‘Bukan Lupa Tapi Tak Ingat’.

Ayob berkata, setiap pemimpin dan juga anggota perlu menghayati setiap amanah yang dipikul sebelum melaksanakan dan membudayakannya.

“Budaya yang tidak elok perlu dihapuskan. Kalau Ketua, Pengarah tidak betul macam mana nasib anggota baru nanti? Kena hayati dan amalkan, memang akan ambil masa namun ia tidak mustahil.

“Bila kita pegang satu jawatan memang besar amanahnya. Kalau saya tersasar (tidak amanah), berapa banyak yang akan terima impak?,”jelasnya.

Katanya, anggota yang tidak amanah dalam menjalankan tugas mereka menyumbang kepada masa depan yang gelap kepada negara serta masyarakat.

“Kalimah Allah ada pada logo polis. Kalau kamu kutip duit rasuah, mana letaknya maruah kita?,”soalnya lagi. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI