fbpx

Graduan seni perlu bersaing dengan influencer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

BENARKAH graduan jurusan seni dianggap tidak laku dan dipandang sepi sehingga menyukarkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan? Mungkin ya atau mungkin juga tidak.

Sewaktu penulis bertemu pelakon Sharifah Amani baru-baru ini, aktres itu menyuarakan pandangannya apabila berkongsi rasa kagum melihat pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sebagai pelapis hebat.

Rata-rata mereka memiliki bakat merangkumi pelbagai cabang baik pelakon, penyanyi, pemuzik, penulis, pengarah mahupun individu belakang tabir.

Bagaimanapun, beliau agak kecewa apabila mendengar ru­ngutan daripada graduan lepasan seni yang mendakwa sukar untuk menembusi pasaran dalam bidang yang diceburi. Pendek kata susah dapat kerja.

“Saya sedar industri seni kita mempunyai banyak bakat berpotensi. Misalnya ketika saya jadi juri pertandingan teater pendek di Aswara baru-baru ini.

“Saya gembira lihat banyak bakat hebat dan ada potensi. Tetapi, selepas itu ke mana mereka? Ramai yang mengadu mereka susah nak dapat kerja terutama sewaktu pandemik,” katanya.

Keadaan semakin buruk apabila graduan lepasan seni yang sepatutnya lebih layak menceburi industri kreatif terpaksa bersaing dengan ‘pendatang segera’ iaitu pempengaruh media sosial.

Mahu tidak mahu, kudrat yang dikerah selama beberapa tahun untuk me­nimba ilmu berkubur begitu sahaja.

Oleh itu, Sharifah Amani berpendapat satu sistem pangkalan data untuk graduan seni perlu diwujudkan misalnya stesen te­levisyen atau pemain industri.

Sementara itu, Eksekutif Kanan (Warisan Seni dan Budaya), Pusat Pembangunan Pelajar, Universiti Teknologi Petronas, Mohd. Nordin Abdolatip berkata, graduan bidang seni mempunyai peluang pekerjaan yang cerah seiring dengan ilmu yang mereka peroleh.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, tidak kurang juga terdapat graduan yang terpaksa melupakan bidang yang mereka dipelajari apabila rezeki mereka dialamatkan dalam kerjaya lain disebabkan peluang yang terhad.

Situasi yang berlaku sebenarnya amat menyedihkan, le­bih-lebih lagi apabila mengetahui secara realitinya peluang yang sepatutnya menjadi milik gra­duan berpotensi itu telah ‘disambar’ oleh individu lain yang tidak mempunyai kelayakan atau kemahiran.

“Graduan lepasan seni sebenarnya mempunyai kebolehpasaran yang cerah.

“Walaupun tanpa mempunyai pengalaman kerja, namun sedikit sebanyak golongan graduan ini mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing berdasarkan apa yang mereka pelajari di universiti,” ujar Nordin.

Dalam pada itu, Nordin turut menegur sikap segelintir pemain industri yang lebih mementingkan populariti berbanding kualiti dengan mengutamakan bakat-bakat yang bukan dalam kala­ngan graduan yang selayaknya.

“Kita dapat lihat pada hari ini ramai ‘bidan terjun’ dalam industri. Sedangkan ada pilihan lain yang lebih berkelayakan dalam bidang tersebut, tapi mereka hanya dipandang sebelah mata.

“Kerana apa? Kerana industri lebih mementingkan populariti berbanding kualiti. Sedangkan ada sesetengah pemain industri pada hari ini langsung tiada pengetahuan dalam bidang yang diceburi,” jelas beliau.

Pada akhirnya, Nordin berpendapat timbul ketidakadilan dalam industri apabila pemain sendiri mengutamakan pihak yang tidak layak untuk dikete­ngahkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI