fbpx

Belanjawan 2024 Perak lulus, ADUN dapat bonus sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (kanan) ketika bercakap pada Sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebulat suara menyokong Belanjawan 2024 negeri itu yang menyaksikan peruntukan terbesar dalam sejarah berjumlah RM1.35 bilion.

Malah semasa sesi penggulungan belanjawan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan kerajaan negeri bersetuju membayar Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji kepada 48 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Speaker Dewan.

Beliau juga mengumumkan, kerajaan negeri bersetuju meneruskan peruntukan pengurusan Pusat Khidmat ADUN RM7,000 sebulan kepada 59 Pusat Khidmat.

“Dengan RM7,000 sebulan dapatlah membiayai bayaran elaun pegawai khas Pusat Khidmat masing-masing, membayar sewa pejabat, membayar bil utiliti dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

“Sebagai buah tangan pada persidangan kali ini, kerajaan negeri bersetuju untuk membayar Bantuan Khas Kewangan satu bulan gaji kepada 48 ADUN dan seorang Speaker,” katanya pada penghujung penggulungannya.

Pembentangan Belanjawan 2024 yang dilakukan pada 1 Disember serta dibahaskan selama tiga, merangkumi RM491 juta atau 36.5 peratus peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan dan RM856 juta atau 63.5 peratus untuk perbelanjaan mengurus.

Antara topik yang disentuh adalah berkenaan perlombongan hasil nadir bumi di mukim Kenering, Hulu Perak.

Saarani menjelaskan, kerajaan negeri menerima hasil sebanyak RM21.1 juta daripada aktiviti itu selain berjaya memberi impak kepada penduduk setempat seperti peluang pekerjaan bidang pengurusan dan profesional serta pengambilan kakitangan dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Tambahnya semasa pembentangan belanjawan pada minggu lalu, beliau memaklumkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan kerajaan setakat 25 November 2023 adalah berjumlah RM1.05 bilion. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI