GAMBAR HIASAN

Kiraan 15 mata bakal ‘bunuh’ sepak takraw

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA peraturan baharu 15 mata sah digunakan pada 2 Februari 2024, ramai pengikut sepak takraw tidak gembira de­ngan perubahan tersebut yang dilihat bakal menenggelamkan sukan itu sendiri.

Jika dulu, peminat ingin me­nyaksikan lipat gulung, lipat gunting, lipat maniam dan sebagainya, tetapi tahun depan mereka mungkin tidak dapat lagi melihatnya apabila perlawanan mengikut kiraan baharu hanya berlangsung 30 minit.

Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) meluluskan sistem pengiraan baharu 15 mata setiap set dengan tiga servis bergilir-gilir untuk menggantikan 21 mata dan akan berkuat kuasa tahun depan untuk semua kejohanan dan pertandingan.

Biarpun Malaysia pada mulanya akur dengan keputusan itu, namun mengubah panda­ngan baru-baru ini selepas melihat ia satu tindakan terburu-buru dan mampu membunuh sukan itu.

Legenda sepak takraw kebangsaan, Haris Abd. Rahman berharap Istaf melakukan kajian terperinci sebelum memutuskan sebarang keputusan.

Beliau menyifatkan peraturan baharu pada perlawanan demonstrasi di Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali di Melaka baru-baru ini seperti hilang identiti selain berakhir dengan begitu pantas.

“Saya antara individu yang mengkaji sistem kiraan baharu dan perlawanan Piala Tun Ali berakhir dengan cepat. Bayangkan satu set perlawanan boleh selesai dalam 15 hingga 20 minit.

“Beberapa kelemahan yang saya lihat ialah pasukan yang benar-benar hebat mungkin mampu meraih kemenangan mudah.

“Bayangkan mereka yang berjaya kuasai kesemua tiga servis dan hanya harapkan pihak lawan melakukan kesilapan mampu menamatkan perlawanan de­ngan cepat. Mungkin ada antara pemain tak dapat pegang bola.

“Saya yakin sistem 15 mata menyebabkan seni dan identiti sukan itu hilang. Kita perlu faham sepak takraw berbeza dan ada seni tersendiri.

“Bayangkan perlawanan dua set berakhir kurang 30 minit. Orang kata punggung belum panas. Apa yang merisaukan mungkin penyokong sudah tiada minat untuk menyaksikan sepak takraw selepas ini,” katanya.

Beliau berharap Istaf dapat mengadakan lebih banyak perlawanan pertunjukan dan menjemput negara luar untuk mencuba sistem itu sebelum digunakan secara rasmi agar tiada perkara berbangkit selepas ini.

“Ini cara terbaik untuk melihat sama ada ia sesuai digunakan ataupun tidak. Ini penting untuk masa depan sukan itu sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan mengambil langkah proaktif apabila tidak bersetuju dengan peraturan baharu tersebut dan akan menghantar video rakaman petunjukan kepada Istaf untuk diteliti semula.

“Jika dilaksanakan juga, keunikan sepak takraw akan hilang, malah penonton juga tidak berasa puas.

“PSM tidak setuju sebab terlalu cepat dan kita berharap Istaf dapat melihat serta mengkaji semula sistem kiraan ini sebelum digunakan secara rasmi pada tahun hadapan,” jelasnya.

Sistem kiraan 15 mata bukan sesuatu yang asing dalam dunia sepak takraw, namun ketika itu ia menggunakan format tiga set terbaik dengan servis berpindah milik dan mata hanya bertambah jika memegang servis.

Walau bagaimanapun selepas beberapa kali ia dipinda, sistem 21 mata yang diperkenalkan pada tahun 2002 akhirnya dikekalkan penggunaannya pada 2013 sehingga kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN