fbpx

Cat serap karbon pertama dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROZZETA menunjukkan cat Mizu Paint yang menggunakan teknologi resin nano bagi menyerap karbon di dalam persekitaran.

INOVASI dalam cat dan salutan telah melalui pelbagai fasa bermula sebagai cecair berwarna bagi mencantikkan sesuatu objek kepada medium melestarikan alam sekitar.

Dengan perpaduan teknologi nano, cat kini bukan hanya menambah seri dan kecantikan, malah menyumbang kepada penurunan suhu serta karbon.

Mengambil idea daripada gabungan cat dan teknologi nano, penyelidik serta pensyarah daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ts. Dr. Rozzeta Dolah Ceng tampil dengan inovasi cat serap karbon pertama di dunia iaitu Mizu Paint.

Menurut Rozzeta, Mizu Paint merupakan produk susulan hasil penyelidikannya yang menghasilkan resin nano daripada tumbuh-tumbuhan.

“Resin nano atau ibu nano merupakan asas kepada kandungan bahan yang terdapat pada setiap produk teknologi nano.

“Ia juga boleh digunakan dalam pelbagai jenis produk termasuk cat yang kini banyak dihasilkan oleh pelbagai jenama sebagai inovasi dan tarikan komersial,” katanya ketika ditemui Infiniti semasa Ekspo Pembinaan CIDB di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, selepas menghasilkan resin nano pada 2017, dia kemudian menghasilkan pelbagai produk yang menggabungkan teknologi nano, sebelum membawa kepada penghasilan cat Mizu Paint pada 2019.

Nama mizu diambil daripada perkataan Jepun yang membawa maksud air. Ia mengetengahkan ciri cat berkenaan yang berasaskan air.

Kongsinya lagi, dalam penyelidikan cat Mizu Paint, pihaknya mengorak selangkah ke hadapan dengan menambah satu kelebihan iaitu kemampuan menyerap karbon dioksida.

CAT Mizu Paint telah diuji dalam kajian makmal.

Fungsi tersebut merupakan yang pertama daripada semua jenama cat di dunia.

Pada masa sama, ia menandakan inovasi baharu dalam penghasilan cat dan salutan.

“Mizu Paint adalah penanda aras baharu dalam era cat menerusi kelebihan serap karbon.

“Ia bukan sahaja membantu menyejukkan ruang tetapi merendahkan tahap karbon di persekitaran.

“Hal ini telah diuji dalam kajian makmal, di mana serapan karbon tersebut mengimitasi proses fotosintesis.

“Bagaimanapun, dalam aplikasi cat, partikel karbon yang diserap akan terasing dan terhapus,” ujarnya.

Jelas Rozzeta, hasil penyelidikan menunjukkan bahawa Mizu Paint dapat menghapuskan 235 kilogram karbon dalam 10 meter persegi ruangan bagi tempoh setahun.

Ia juga boleh mengurangkan suhu sehingga 4 darjah Celsius mengikut saiz ruangan dan kandungan nano yang digunakan dalam campuran cat.

Katanya lagi, inovasi nano dan serap karbon itu juga telah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar serta mengurangkan kesan rumah hijau.

“Pengurangkan kadar karbon dapat menurunkan kesan rumah hijau yang pada masa kini berada pada tahap membimbangkan.

“Oleh itu, inovasi cat masa kini turut mempertimbangkan sumbangan kepada kelestarian alam sekitar.

“Fungsi menyerap karbon ini dapat menyumbang ke arah kelestarian alam sekiranya ia diaplikasi dalam skala besar,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI