fbpx

Ranjit, Mandeep dikesan kes simen mayat di Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ranjit Singh dan Mandeep Singh sedang dikesan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita yang disimen di tandas sebuah rumah di Kampung Pendamar Fasa Satu, Pandamaran, Klang, semalam.

KLANG – Polis sedang mengesan dua lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita yang disimen di tandas sebuah rumah di Kampung Pendamar Fasa Satu, Pandamaran di sini, semalam.

Dua individu itu masing-masing dikenali sebagai Ranjit Singh dan Mandeep Singh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua suspek dikenal pasti menyewa rumah tersebut dan dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

“Polis ketika ini masih dalam tindakan untuk mengesan mereka bagi membantu siasatan. Selain itu, seorang lelaki warga asing berusia 53 tahun ditahan dan kebenaran reman akan dimohon di mahkamah esok,” katanya malam ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan suasana di kampung itu gempar dengan penemuan mayat berkenaan selain dipenuhi anggota polis dan bomba, kira-kira pukul 9.30 malam.

Dalam pada itu, jelas Hussein, pihaknya kelmarin menerima laporan daripada pemilik rumah itu berkaitan terdapat mayat di kolah bilik air rumah tersebut.

“Siasatan mendapati pengadu pernah menyewakan rumahnya kepada dua lelaki asing selama dua tahun bermula Ogos 2019 hingga Oktober 2021. Sebelum menyewakannya kepada orang lain, pengadu mendapati kolah itu disimen dan penyewa asing itu memberi alasan dimasuki bangkai tikus,” ujarnya.

Menurut beliau, pengadu kemudian meminta seorang lelaki membaiki bumbung rumah itu bulan lalu sebelum diberitahu terdapat mayat di kolah berkenaan.

“Maklumat itu diterima daripada seorang lagi lelaki asing yang sudah pulang ke negara asal. Bertindak atas laporan pengadu, polis dan bomba menjalankan siasatan yang membawa penemuan mayat selepas simen itu dipecahkan. Mayat dihantar ke Hospital Shah Alam bagi bedah siasat yang akan dijalankan Khamis ini.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu termasuk suspek diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI