fbpx

Petisyen Pilihanraya: Parlimen Gua Musang kekal milik PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azizi (tengah) ketika memenangi Parlimen Gua Musang pada November tahun lalu.

PUTRAJAYA – Parlimen Gua Musang kekal milik calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd. Azizi Abu Naim yang memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim selepas membatalkan rayuan seorang pengundi Barisan Nasional (BN) Mohd. Azmi Mahmood yang memfailkan petisyen pilihan raya mewakili calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dengan keputusan itu, Mohd. Azmi gagal mengembalikan petisyen itu ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi mencabar kemenangan Mohd. Azizi.

Panel-panel juga berpuas hati terdapat merit dalam bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam Mohd. Yusfarizal Yussoff yang mewakili Mohd. Azizi.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Abu Bakar Jais.

Dengan keputusan itu, panel hakim turut memerintahkan kos RM30,000 dibayar kepada calon PN itu.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Mohamad Zubairy Hussain yang mewakili Mohd. Azmi berhujah, anak guamnya wajar dibenarkan merayu atas alasan beliau tidak memecat pasukan peguam yang mewakilinya ketika di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Hujah beliau, tindakan hakim pilihan raya membatalkan petisyen itu dilakukan dengan cara yang tidak betul dan mewajarkan ia dikembalikan untuk dibicarakan di Kota Bharu.

Terdahulu, Mohd. Yusfarizal bersama peguam Mohd. Faizi Che Abu mengemukakan bantahan awal atas alasan pengundi BN itu tidak boleh merayu terhadap petisyen yang telah dibatalkan.

Pada 5 September lalu, pengundi BN itu gagal mencabar kemenangan Mohd. Azizi selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu membatalkan petisyen yang difailkannya.

Hakim Datuk Amarjeet Singh yang bertindak selaku hakim pilihan raya memutuskan demikian selepas Mohd. Azmi memecat pasukan peguam daripada dua firma guaman yang mewakilinya termasuk Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohd. Hafarizam Harun.

Pada PRU15 lalu, Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 apabila tewas kepada Mohd. Azizi yang diumum menang dengan majoriti tipis 163 undi.

Pada 19 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan mengembalikan petisyen itu untuk didengar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu agar meritnya diputuskan melalui perbicaraan penuh di hadapan hakim baharu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Mohd. Azmi bahawa Mahkamah Tinggi Kota Bharu terkhilaf ketika memutuskan pemfailan petisyen dilakukan di luar tempoh masa yang ditetapkan.

Panel itu turut berpuas hati bahawa butiran petisyen yang difailkan oleh Mohd. Azmi adalah mencukupi dan memenuhi kehendak undang-undang di bawah Kaedah 4(1)(b) Kaedah-Kaedah Petisyen 1954, dibaca bersama Seksyen 32(a) Akta 5.

Pada 26 Februari lalu, Hakim Datuk Roslan Abu Bakar membatalkan petisyen Mohd. Azmi selepas memutuskan ia difailkan di luar tempoh masa yang dibenarkan iaitu 28 hari seperti yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI