fbpx

Cuaca panas, tapi Kelantan dilanda bah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK menaiki sampan di Kampung Tersang, Rantau Panjang semalam.

RANTAU PANJANG – Cuaca panas sejak semalam tidak menurunkan paras banjir yang naik di kawasan rumah penduduk ekoran limpahan air Sungai Golok sejak minggu lalu.

Meskipun cuaca semakin baik, namun jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 4,641 orang setakat pukul 4 petang semalam berbanding 4,560 orang malam kelmarin.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan berkata, kesemua mangsa banjir merupakan penduduk di Pasir Mas termasuk Rantau Panjang terdiri daripada 1,510 keluarga di 12 pusat pemindahan sementara (PPS).

Seorang mangsa banjir, Zamri Abdul Rahman, 33, berkata, air Sungai Golok yang melimpah di pekan Rantau Panjang sebelum ini sudah surut, namun kawasan rumah penduduk masih terjejas.

Menurutnya, rumahnya di Kampung Padang Licin di sini masih dinaiki air dan dia berharap cuaca panas berterusan sehingga air surut sepenuhnya dalam masa beberapa hari lagi.

“Saya lihat cuaca semakin baik hari ini (semalam) apabila beberapa kawasan utama di pekan Rantau Panjang kembali normal.

“Bagaimanapun, banjir di kawasan rumah penduduk terutamanya di Kampung Padang Licin dan Kampung Tersang masih teruk akibat banjir. Persekitaran rumah saya masih ditenggelami
air setinggi 0.5 meter,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Penduduk Kampung Tersang, Syed Zainal Abidin Syed Mamat berkata, air makin naik disebabkan limpahan air Sungai Golok masuk ke penempatan penduduk.

“Banjir masih berlaku di kampung saya walaupun cuaca mula panas hari ini (semalam). Banjir di sini berlaku ekoran limpahan air Sungai Lanchang yang bertembung dengan limpahan air Sungai Golok sehingga menyebabkan ia melimpah ke kawasan kampung,” katanya.

Ujarnya, situasi itu menyebabkan paras air meningkat mendadak daripada biasa walaupun tiada hujan.

Tambahnya, paras air semua sungai utama di Kelantan masih berada tahap normal kecuali Sungai Golok di Kuala Jambu menunjukkan paras berjaga-jaga dan Rantau Panjang mencatatkan bacaan amaran.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI