fbpx

Dua kali kena langgar semasa SJR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOPERAL berusia 42 tahun cedera selepas dilanggar penunggang motosikal di Persiaran Perbandaran Seksyen 14, Shah Alam kelmarin. AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Seorang anggota polis cedera buat kali kedua selepas dilanggar penunggang motosikal yang cuba melarikan diri ketika operasi sekatan jalan raya (SJR) di hadapan sebuah pusat beli-belah di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu mengakibatkan anggota polis berpangkat koperal berusia 42 tahun cedera di bahagian muka dan badan.

Sebelum ini, koperal tersebut pernah cedera masa bertugas SJR di Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 15 di sini pada Jun 2019.

Kosmo! difahamkan, koperal terbabit juga baharu sembuh selepas terlibat dalam kemalangan enam bulan lalu.

Wartawan Kosmo! yang turut berada di lokasi kejadian mendapati situasi bertukar detik cemas apabila anggota polis tersebut tidak sedarkan diri hampir lima minit.

Pelanggaran itu turut me­ngakibatkan penunggang motosikal berusia 21 tahun itu benjol di bahagian dahi kanan selain luka di siku kiri dan kaki selepas terbabas.

Tindakan itu dilakukan penunggang berkenaan hanya dikatakan kerana tidak mempunyai cermin pandang sisi.

Penunggang motorsikal yang ditahan oleh anggota polis ketika Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Shah Alam, Selangor. -AFIQ RAZALI

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, semasa kejadian melibatkan anggota tersebut daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Traffik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini sedang mengadakan operasi samseng jalanan.

Katanya, suspek yang me­nunggang motosikal telah berpatah balik dan melawan arus jalan untuk melarikan diri selepas melihat sekatan jalan raya di hadapannya.

“Melihat kejadian itu, anggota trafik tersebut cuba menghalang sebelum dilanggar suspek yang panik ketika itu.

“Akibat kejadian tersebut, kedua-duanya termasuk anggota polis itu mengalami kecederaan dan dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut,” katanya di sini semalam.

Jelas beliau, kes kini disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda
tidak melebihi RM 15,000.

“Siasatan turut dilakukan me­ngikut Seksyen 186 Kanun Kesek­saan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya, sekiranya disabitkan ke­salahan.

“Polis turut membuka siasatan dibawah Seksyen 307 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan penjara boleh sampai 10 tahun atau denda. Sekiranya perbuatan itu menyebabkan cedera kepada seseorang boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang di jalan raya bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI