fbpx

Konflik Palestin-Israel: Zionis teruskan pembunuhan di Semenanjung Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR dari selatan Israel dekat sempadan Semenanjung Gaza menunjukkan asal tebal menyelubungi udara ketika serangan Israel kelmarin. – AFP

BANDAR GAZA – Israel mengebom Semenanjung Gaza pada hari kedua semalam selepas gencatan senjata selama seminggu dengan Hamas musnah, di sebalik gesaan antarabangsa supaya ia dilanjutkan.

Kepulan asap kelabu akibat bedilan Rejim Zionis menyelubungi langit Gaza dengan kementerian kesihatan dikendalikan Hamas berkata, lebih 200 orang terbunuh sejak perang meletus semula awal kelmarin.

Kedua-dua belah pihak me­nyalahkan satu sama lain sebagai mencabuli gencatan senjata sementara itu. Israel menuduh Hamas cuba menembak roket dan gagal menyerahkan senarai lanjut tebusan untuk dibebaskan.

“Apa yang kami lakukan sekarang ini ialah menyerang sasaran Hamas di seluruh Semenanjung Gaza,” kata jurucakap tentera Zio­nis, Jonathan Conricus kepada pemberita semalam.

Ketika perang meletus semula, sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam menerima ‘arahan untuk menyambung semula pertempuran’ dan ‘mempertahankan Semenanjung Gaza’, demikian menurut sumber yang rapat dengan kumpulan itu.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, barisan pemimpin antarabangsa dan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia mengutuk pertempuran yang meletus kembali di Gaza.

“Saya amat kesal kerana operasi ketenteraan disambung semula di Semenanjung Gaza,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres di laman X.

“Hari ini (semalam), dalam beberapa jam sahaja, ramai dilaporkan terkorban dan cedera.

“Keluarga-keluarga Palestin diarah untuk berpindah sekali lagi. Harapan kedamaian telah musnah,” kata Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths pula.

Kebimbangan konflik Palestin-Israel merebak, meningkat selepas Kementerian Pertahanan Syria berkata bahawa Israel menyerang Damsyik semalam, manakala kumpulan militan Hizbollah memberitahu, seorang pejuangnya terbunuh dalam serangan Israel kelmarin.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa Washington sedang bekerjasama dengan negara-negara Asia Barat lain untuk mencapai satu lagi gencatan senjata.

“Kami akan terus bekerjasama dengan Israel, Mesir dan Qatar dalam usaha melaksanakan semula jeda kemanusiaan,” kata Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin kepada pemberita di California kelmarin.

Semasa serangan mengejut pada 7 Oktober lalu, pejuang Hamas merentas sempadan ke Israel dan melancarkan serangan yang mengakibatkan kira-kira 1,200 orang terbunuh, kebanyakan mereka ialah orang awam, dan menculik sekitar 240 tebusan.

Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas dan sebagai tindak balas, melancarkan kempen serangan udara dan darat yang membunuh lebih 16,000 orang, juga kebanyakan mereka penduduk awam, kata pihak berkuasa Hamas yang memerintah Gaza.

Bagaimanapun, usaha diplomatik menyaksikan kedua-dua belah pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata yang bersambung selama tujuh hari di mana Hamas membebaskan seramai 80 tebusan Israel sebagai pertukaran untuk 240 tahanan Palestin dan lebih banyak bantuan memasuki Gaza.

Tentera Israel menyatakan kelmarin bahawa lima lagi tebusan telah mati, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada tujuh orang. Seramai 136 tebusan lain masih ditahan, termasuk 17 wanita dan kanak-kanak.

Guterres turut memberi amaran tentang ‘malapetaka kemanusiaan’ di Gaza selepas 1.7 juta orang hilang tempat tinggal dan berdepan ketiadaan makanan, air dan keperluan lain.

“Perkhidmatan penjagaan kesihatan lumpuh,” kata pegawai kecemasan kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Rob Holden kepada wartawan dari Gaza ketika letupan akibat serangan Israel kedengaran di latar belakang.

“Ia seperti filem seram,” tambahnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI