fbpx

Lubuk setinggan PATI Indonesia di Pantai Dalam digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 69 PATI ditahan JIM dalam satu serbuan di Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR -Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertindak menahan 69 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia selepas menggempur kawasan setinggan di Kampung Pantai Dalam, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan pada pukul 1.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota JIM itu turut membawa kepada pemeriksaan 110 warga Indonesia di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, operasi itu dijalankan dengan kekuatan 111 pegawai JIM dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Jelas beliau, PATI yang ditahan berusia antara dua hingga 70 tahun membabitkan 45 lelaki, 23 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki.

“Antara kesalahan PATI ini ialah tiada permit sah dan tinggal lebih masa.

“Operasi itu dilakukan hasil risikan dijalankan selama seminggu selepas menerima aduan kebimbangan penduduk yang memaklumkan mengenai keberadaan warga asing di masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Tambah Jafri, lokasi sama juga pernah digempur pihaknya pada tahun lalu dan ini merupakan serbuan kedua JIM di lokasi yang ramai didiami oleh warga Indonesia.

“Kesemua PATI telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta sama, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.

Dalam operasi itu, tambah Jafri, JIM turut mengeluarkan satu saman di bawah Seksyen 55(e) Akta Imigresen 1959/63 terhadap seorang lelaki tempatan yang dipercayai melindungi warga asing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI