fbpx
Isteri Hanif ‘gelap mata’ dengan kemewahan setelah menjalin hubungan dengan ahli perniagaan kaya. – Gambar hiasan

Bini cantik dikebas lelaki kaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DITAKDIRKAN untuk bertemu jodoh dengan isteri yang cantik ternyata membuatkan seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Hanif merasakan dirinya cukup beruntung.

Dia sendiri tidak menyangka isterinya itu sanggup memilihnya untuk dijadikan pasangan hidup meskipun dirinya biasa-biasa sahaja dalam semua aspek.

“Saya ini cuma bekerja sebagai pemandu lori dan rupa saya tidaklah sekacak mana.

“Saya menganggap ini sebagai satu rezeki kerana dapat berkahwin dengan isteri yang cantik.

“Malah, ada juga rakan-rakan saya yang sering bergurau mengatakan saya ada menggunakan ‘minyak pengasih’ untuk memikat isteri saya,” katanya yang kini berusia 40 tahun.

Tambah Hanif, isterinya memilih Hanif untuk menjadi suaminya kerana menghargai keikhlasan dan kesungguhan dirinya sewaktu perkenalan mereka.

Hanif dan isterinya berkahwin pada usia yang begitu muda dan sepanjang hampir 15 tahun bersama, mereka dikurniakan dengan tiga cahaya mata.

Namun begitu, perkahwinan yang mereka bina tidak berkekalan lama apabila isterinya yang merupakan seorang suri rumah akhirnya telah berlaku curang kepadanya sehingga membuatkan Hanif reda untuk melepaskannya.

“Berkahwin dengan isteri yang mempunyai rupa yang cantik ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana ramai yang cuba mendekati dan berkenalan dengannya,” jelasnya.

Hanif berkata, semuanya berubah setelah seorang lelaki kaya mendekati isterinya di media sosial.

Perkenalan tersebut telah menyebabkan isterinya tertarik kepada ahli perniagaan berharta itu dan menjalinkan hubungan di belakangnya.

Hanif mengakui bahawa kerjanya sebagai pemandu lori membuatnya jarang untuk berada di rumah kerana perlu keluar kawasan demi mencari rezeki buat keluarga.

“Isteri saya tidak bekerja kerana saya mahu dia menguruskan anak-anak saya. Kami tinggal di rumah flat sahaja.

“Saya tidak mampu beri kemewahan kepadanya tetapi setiap bulan saya akan cuba berikan sedikit wang kepadanya untuk berbelanja,” terangnya.

Hanif hanya mengetahui bahawa isterinya itu berlaku curang kepadanya setelah melihat perubahan gaya hidup isterinya.

Dia melihat isterinya sering berhias dan memiliki pakaian dan beg tangan yang boleh dikatakan mewah.

Dia ada bertanya akan hal tersebut dan isterinya memberitahu bahawa barangan itu hanya barangan terpakai yang dibeli pada harga yang murah.

Namun begitu, semuanya terbongkar apabila isterinya itu terlupa untuk memadam perbualan WhatsApp bersama lelaki lain.

“Pada waktu itu saya pulang ke rumah secara tiba-tiba kerana ‘trip’ memandu lori dibatalkan.

“Setibanya di rumah saya dapati dia telah tidur dan saya mengambil telefon pintarnya sekadar untuk melihat sahaja.

“Alangkah terkejut apabila saya melihat ada perbualannya bersama lelaki lain yang begitu mesra, bukan itu sahaja, saya juga melihat gambar swafoto dia dengan lelaki di sebuah restoran yang tampak mewah di galeri gambar,” terangnya.

Hanif kemudian mengejutkan isterinya untuk meminta penjelasan.

Isterinya pada ketika itu amat terkejut kerana tidak menyangka Hanif telah ada di rumah.

Setelah didesak akhirnya isterinya itu mengakui dia ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

“Isteri saya mengatakan bahawa dia telah penat untuk hidup dengan saya kerana tidak dapat memberikan kemewahan kepadanya.

“Malah, sebolehnya dia ingin berpisah dengan saya,” terangnya.

Hanif mengakui dia berasa amat kecewa pada ketika itu tetapi memikirkan anak-anak membuatkannya bertahan.

Selepas itu, dia cuba memberi peluang kepada isterinya itu agar memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut demi mempertahankan keluarga mereka.

Sejak itu, hubungan mereka juga sudah dingin sebagai pasangan suami isteri.

Peluang yang diberikan Hanif nyata tidak digunakan dengan sebaiknya oleh isterinya itu. Ini kerana, isterinya masih menjalinkan hubungan dengan lelaki tersebut.

“Rakan saya ada melihat isteri saya keluar bersama dengan lelaki lain.

“Bukan itu sahaja, anak sulung saya yang ketika itu sudah berusia 10 tahun menyatakan bahawa dia yang menjaga adik-adiknya ketika isteri saya keluar.

“Malah, anak saya itu juga memberitahu lelaki itu semakin berani masuk ke rumah, datang mengambil ibunya dengan menaiki kereta mewah ketika saya tiada di rumah,” katanya.

Anak sulung tidak menceritakan hal tersebut kepadanya sebelum ini kerana tidak mahu kedua-dua orang tuanya bergaduh.

Akhirnya, Hanif merasakan rumah tangga yang dibina itu sudah tidak mampu dipertahankan lagi kerana sebelum itu beberapa kali isterinya meminta dirinya untuk dilepaskan.

Setelah berfikir panjang, dia mengambil keputusan untuk melepaskan isterinya itu dengan syarat hak penjagaan anak-anak diberikan kepadanya.

Mereka berdua kemudiannya sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.

Kini, Hanif selesa hidup bersendirian membesarkan anak-anaknya tanpa seorang wanita bergelar isteri.

Malah, anak-anaknya juga memahami dan mereka membenci bekas isterinya itu kerana sanggup meninggalkan mereka untuk bersama dengan lelaki lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN