fbpx

Lari tinggal isteri, rakan dalam kereta bawa 74 kg ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian dadah jenis ganja seberat 74 kg yang dirampas di dalam sebuah kereta di tepi jalan di Bukit Sireh, Kuala Krai semalam. -Foto PDRM

KUALA KRAI – Seorang lelaki yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ sanggup lari meninggalkan isteri dan rakannya selepas kereta yang mereka naiki membawa sebanyak 74 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM229,400 ditahan di Bukit Sireh, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.35 malam itu, suspek melarikan diri ke kawasan semak meningggalkan isterinya berusia 25 tahun dan rakan, 39 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, anggota cawangan kereta peronda (MPV) yang menjalankan tugas rondaan menahan sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah Kota Bharu ke Gua Musang selepas ia dipandu dalam keadaan mencurigakan seperti membawa muatan berat.

Menurutnya, kereta itu bagaimanapun dipecut laju sebelum anggota MPV berjaya menahan kereta terbabit di tepi jalan di Bukit Sireh di sini.

“Dua suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita dicekup di dalam kereta tersebut. Seorang lagi suspek yang merupakan suami kepada suspek wanita itu sempat meloloskan diri ke kawasan semak berdekatan.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu menemui lima kotak yang mengandungi dadah jenis ganja seberat 74 kg,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarulzaman memberitahu, kedua-dua suspek yang ditahan mengaku mereka bekerjasama untuk menghantar bekalan dadah tersebut.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita negatif daripada penyalahgunaan dadah.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Khamis depan,” katanya.

Tambah Kamarulzaman, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI