fbpx

Pelakon terkenal hilang 30kg kerana sakit jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKTOR veteran, Jalil Hamid kini mengalami masalah jantung bengkak yang menuntutnya mendapatkan rawatan secara berkala di hospital. - FOTO AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Pelakon Jalil Hamid mendedahkan mengalami penurunan berat badan mendadak sebanyak 30 kilogram (kg) selepas mengalami masalah kesihatan jantung dan hilang selera makan sejak setahun lalu.

Jalil atau Abdul Jalil Abdul Hamid, 66, berkata, dia akan muntah setiap kali selepas makan sehingga memaksanya untuk hanya menjamah hidangan bertekstur lembut atau cair seperti bubur.

“Dalam tempoh setahun ini, berat badan turun banyak iaitu sekitar 30kg sebab bila makan, memang akan keluar semula.

“Jadi, saya hanya boleh makan sesuatu yang cair seperti bubur.

“Penurunan berat badan ini juga membuatkan saya tidak stabil ketika berjalan.

“Saya juga sudah tidak boleh memandu kereta jadi isteri yang bantu hantar ke mana-mana,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis program dakwah Selebriti Bersama Mufti di kediaman pelakon Diana Rafar, di sini, semalam.

Mengulas lanjut penyakit dihidapi, dia disahkan menghidap masalah jantung bengkak selepas menjalani pembedahan sekitar Julai tahun lalu.

“Kini saya pelu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap bulan di hospital memandangkan doktor mengesyaki saya ada masalah berkaitan jantung.

“Doktor ada minta dimasukkan ke wad tapi saya menolak. Alhamdulillah, saya masih okey dan sudah mampu berjalan berbanding sebelum ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, dia yang popular menerusi filem Bisik Pada Langit itu turut menzahirkan rasa syukur apabila terpilih untuk menerima sumbangan yang diberikan rakan-rakan artis dan pihak zakat semalam.

Katanya, pemberian zakat itu dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggungnya terutama berkaitan perbelanjaan perubatan.

“Saya kalau boleh tidak mahu bebankan anak-anak dengan masalah saya.

“Mereka juga ada baru bekerja dan berkeluarga ditambah pula kos sara hidup memang tinggi sekarang.

“Sekurang-kurangnya sumbangan sebegini dapatlah meringankan beban saya dan isteri. Ubat jantung saya juga sudah mencecah seribu ringgit,” kongsinya.

Bercerita mengenai perjalanan seninya, bintang drama Ayahanda itu mendedahkan sudah hampir tiga tahun tidak menerima sebarang tawaran lakonan berikutan masalah kesihatan.

Meskipun begitu, Jalil mengakui dunia lakonan sudah sebati dengan dirinya dan sangat merindui untuk beraksi di hadapan kamera.

“Sebenarnya hampir tiga tahun saya tidak berlakon. Mungkin saya direhatkan.

“Barangkali produksi juga risau untuk ambil saya berlakon, manalah tahu lepas ‘shooting’ dua, tiga hari sudah ‘gone’ (meninggal dunia).

“Hakikatnya, saya memang tidak boleh tinggalkan dunia lakonan. Kerjaya ini sudah sebati, tidak boleh buat kerja lain lagi,” tuturnya.

Selain Jalil, sekitar 40 selebriti tanah air terdiri daripada pelakon dan penyanyi senior menerima sumbangan zakat yang juga hasil sumbangan beberapa artis terkenal seperti Mila Jirin, Diana Rafar, Zamarul Hisyam dan Syatilla Melvin. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI