fbpx

Banjir: 74 termasuk tiga bayi dipindahkan ke PPS di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba memindahkan mangsa yang terjejas selepas kediaman dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Paya Kenanga, Johor Bahru awal pagi hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 74 mangsa termasuk tiga bayi dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) apabila kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di sini awal pagi hari ini.

Empat PPS yang dibuka ialah Dewan Kangkar Tebrau yang menempatkan lapan mangsa, Taman Pasir Putih (6), Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru (17) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Mutiara (23).

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor, hujan lebat lebih dua jam semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air seawal pukul 12 tengah malam tadi.

“Panggilan pertama berhubung kejadian banjir adalah pada pukul 12.51 tengah malam melibatkan enam mangsa di Kampung Bukit Pulai di sini.

“Empat panggilan lagi kami terima bermula pukul 1.29 pagi sehingga pukul 3.06 pagi. Pasukan Keluar Operasi (PKO) diatur-gerak ke lokasi kejadian iaitu Jalan Kangkar Tebrau, Jalan Kampung Sentosa Damai 8, Kampung Paya Kenanga dan Taman Bunga Ros.

“Kesemua 74 mangsa yang terperangkap dipindahkan ke kawasan selamat,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PPS SK Taman Bukit Mutiara, Johor Bahru dibuka hari ini menempatkan mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir awal pagi tadi.

Menurutnya, sehingga pukul 12 tengah hari ini, kesemua mangsa masih ditempatkan di empat PPS.

Katanya, setelah memastikan keadaan terkawal dan selamat, pasukan PKO menamatkan operasi kira-kira pukul 7.30 pagi hari ini.

“Pasukan keselamatan masih memantau keadaan banjir di kawasan yang dilaporkan terjejas dan sehingga kini kesemua mangsa masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI